PENGENDALI West Ham, Davdi Moyes mengesahkan tonggak skuad The Hammers, Declan Rice tidak akan beraksi berdepan Watford pada Selasa.
Menurut Moyes, ketiadaan Rice yang menjalani penggantungan perlawanan nyata memberikan kesukaran buatnya dalam menurunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan berkenaan.
"Ia sesuatu yang sukar apabila kita tidak dapat menurunkan pemain terbaik kita bagi mana-mana perlawanan dan inilah yang berlaku kepada kita.
"Kita terpaksa menyusun semula pasukan kita terutamanya bagi memperkuatkan benteng pertahanan kita dan juga di posisi tengah dengan ketiadaan Rice.
"Apa pun, diharapkan pemain yang diturunkan kelak dapat melaksanakan tanggungjawab bagi mengisi kekosongan berkenaan,” katanya.
Untuk rekod, dalam enam perlawanan terdahulu, West Ham hanya menang sekali, selain turut tersingkir daripada saingan Piala Liga apabila tewas kepada Tottenham Hotspur.
Sementara itu Moyes menegaskan, pihaknya kini memiliki dua pemain pilihan melibatkan Alex Kral serta Mark Noble yang dilihat boleh menjalankan tugas dengan baik di benteng pertahanan.
Justeru, Moyes berharap walau siapa pun yang diturunkan, pemain berkenaan perlu melaksanakan tugas sebaik mungkin bagi memastikan kejayaan pasukan.
"Kemenangan ini juga penting kerana kita gagal memenangi beberapa perlawanan sebelum ini.
"Oleh itu, siapa juga yang diturunkan nanti, diharap dapat memberikan aksi yang terbaik bagi memastikan kejayaan pasukan,” katanya.