Jumlah mangsa banjir turun di empat negeri, Melaka kekal

Iklan
Penduduk kampung yang menjadi mangsa banjir memilih baju baharu yang disumbangkan oleh sukarelawan ketika tinjauan di Kampung Labohan Dagang Kuala Langat, Banting pada Ahad. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan dengan 25,307 mangsa daripada 7,662 keluarga dilapor masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri tengah hari Isnin.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di 169 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

Pada pagi Isnin jumlah mangsa banjir adalah 28,005 orang daripada 8,598 keluarga masih berada di 183 PPS di lima negeri berkenaan.

Di Selangor, aplikasi itu memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 8,821 mangsa daripada 2,543 keluarga di 56 pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari Isnin daripada 11,864 mangsa di 61 PPS pada sebelah pagi.

Iklan

Bagaimanapun, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kini berada pada paras bahaya apabila mencatat ketinggian 2.36 meter setakat jam 11.30 pagi dengan trend menaik.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Twitter rasminya memaklumkan sebarang bantuan dan kecemasan segera akibat banjir di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu boleh menghubungi 03-55105811 yang dibuka 24 jam.

Iklan

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir adalah 311 orang daripada 104 keluarga setakat 12 tengah hari berbanding 378 orang daripada 127 keluarga pada sebelah pagi Isnin melibatkan dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok di jajahan Pasir Mas.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir tidak menunjukkan perubahan ketara pada tengah hari Isnin dan aplikasi Info Bencana JKM melaporkan 16,303 orang masih berada di 114 PPS di enam daerah.

Pada sebelah pagi, seramai 16,579 mangsa dari Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan dilaporkan berada di PPS.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pula melaporkan sembilan jalan di Pahang ditutup di beberapa lokasi antaranya Jalan Kuala Lumpur-Maran di Maran, Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh), Jalan Sungai Lembing (Kuantan) dan Jalan Kuantan-Segamat (Pekan).

Di Negeri Sembilan, berdasarkan data disiarkan di aplikasi Info Bencana JKM jumlah mangsa banjir menurun kepada 83 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS berbanding 128 individu daripada 37 keluarga dilaporkan pada pagi Isnin.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat tengah hari.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa. - Bernama