JOHOR BAHRU - Seorang bekas penjawat awam yang disyaki bertindak sebagai ketua sindiket memproses ketum ditahan dalam serbuan polis di sekitar kawasan Johor Bahru Utara pada 22 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat diperoleh daripada seorang pemandu lori yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Hentian Simpang Renggam pada 21 Disember lalu.
Beliau berkata, ketika ditahan, pemandu berusia 42 tahun itu disyaki baru sahaja selesai menghantar bekalan ketum seberat 700 kilogram (kg) dari utara ke selatan tanah air.
"Susulan penangkapan suspek itu, polis membuat dua serbuan di sekitar kawasan Johor Bahru Utara pada jam 2.45 pagi hingga 6 pagi Rabu lalu (22 Disember).
"Dalam serbuan itu, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan. Salah seorang suspek lelaki yang ditahan merupakan ketua sindiket berusia 35 tahun juga bekas penjawat awam. Wanita yang ditahan merupakan isteri ketua sindiket yang bertindak sebagai akuantan.
"Sementara dalam operasi susulan pada malam Ahad di sekitar Kulai dan Johor Bahru, polis menahan lapan penjawat awam yang disyaki terlibat sindiket dengan bersengkongkol atau positif ketum," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.
Ayob Khan berkata, sindiket yang aktif sejak tahu 2017 itu menggunakan modus operandi membungkus dan memproses ketum dari utara menggunakan lori buah-buahan di sebuah kilang di Kempas yang disewanya.
"Hasil serbuan, polis merampas 75.55 kg ketum, 90 liter cecair ketum dan peralatan memproses ketum dianggarkan keseluruhannya bernilai RM1,655. Rampasan daun dan air ketum ini boleh digunakan untuk 110 pengguna.
"Kesemua suspek ditahan reman bermula Ahad untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," jelas beliau.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, siasatan mendapati ketua sindiket terbabit pernah berkhidmat sebagai penjawat awam pada tahun 2011, namun diberhentikan kerja selain turut mempunyai rekod lampau.
"Sindiket memperoleh keuntungan hasil menjual air dan daun ketum sehingga RM200,000 sebulan. Kegiatan ini menjadi popular sejak kebelakangan ini ekoran harga ketum tinggi di pasaran mencecah RM35 hingga RM80 sekilogam.
"Tidak hairanlah pekerja yang memasak daun ketum menerima gaji RM5,000 hingga RM10,000 sebulan. Malah kebanyakan memiliki aset seperti rumah, kereta mewah dan sebagainya yang diperoleh ketua sindiket secara tunai," ujarnya.