Curi ketika darurat: Dosa terhapus jika pemilik halalkan

Iklan
Gambar kecil: Syeikh Fadzil

ALOR SETAR - Mencuri barangan keperluan ketika darurat akibat musibah banjir sememangnya berdosa, namun dosa itu terhapus sekiranya pemilik menghalalkan perbuatan itu.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, mencuri merupakan satu perbuatan yang salah sama ada dari aspek agama mahupun perundangan, walaupun terpaksa melakukannya untuk kelangsungan hidup.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun dari sudut pandangan agama, individu yang mencuri terlepas daripada menanggung dosa apabila pemilik memaafkan kesalahan dilakukan atas alasan yang munasabah.

"Ada maklumat yang mengatakan mangsa banjir mengambil makanan dari pasar raya dan memberi pula kepada mangsa banjir lain. Walaupun berniat baik namun caranya tidak betul.

Iklan

"Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara walaupun matlamatnya adalah baik mahu bantu mangsa banjir, tetapi kaedahnya dengan mencuri adalah salah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh syarikat korporat di Menara Zakat di sini, pada Isnin.

Baru-baru ini, tular di media sosial mangsa banjir memecah masuk dan mencuri barangan dalam premis kedai di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.

Iklan

Berdasarkan laporan polis mengesahkan beberapa kejadian pecah kedai berlaku, antaranya Mydin Mart, KK Mart, 7 Eleven dan Pasar Raya Jimat bagi mendapatkan bekalan makanan akibat bantuan lewat disalurkan.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin memaklumkan, pihaknya menghalalkan perbuatan tersebut dengan niat individu terlibat tiada pilihan untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan lewat dan bukan dengan niat sebaliknya.

Mengulas lanjut, Syeikh Fadzil berkata, mangsa banjir yang dilaporkan turut mengambil barangan tidak perlu seperti barangan elektrik adalah perbuatan yang menyalahi kaedah dibenarkan ketika darurat.

"Dari segi perundangan, perbuatan mencuri akan disiasat bawah akta berkaitan. Itu terserah kepada polis kerana mereka mengambil sesuatu yang di luar keperluan. Malah individu terlibat sudah dikenal pasti,” katanya.

Mengulas mengenai mangsa banjir yang tidak sempat menutup aurat atau berpakaian tidak sempurna susulan mahu menyelamatkan diri, Syeikh Fadzil menegaskan, ketika darurat keadaan membenarkan untuk melakukan perkara yang kebiasaannya dilarang.

"Itu adalah kaedah ketika darurat, ia mengharuskan perkara yang dilarang dilakukan ketika dalam suasana biasa. Namun mangsa terlibat diingatkan agar sebolehnya kawal dan jagalah aurat sekadar yang mampu.

"Ini termasuk pergaulan sesama bukan muhrim perlu dikawal, dalam keadaan terpaksa maka Islam mengharuskan perkara itu,” katanya.