PENGURUSAN halal yang diterokai Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) sejak 45 tahun lalu bukan sahaja diyakini di peringkat domestik tetapi mendapat pengiktirafan di peringkat global.
Ekosistem pengurusan halal yang dilaksanakan oleh Jakim juga kukuh dan berkembang pesat.
Persijilan halal yang dikeluarkan oleh Jakim telah dicontohi di peringkat antarabangsa dan menjadi mercu tanda industri halal yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Halal Malaysia mempunyai lapan standard yang berjaya dibangunkan dalam pelbagai bidang antaranya makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, farmaseutikal dan logistik.
Menurut laman web Jakim, yuran persijilan halal adalah berpatutan iaitu untuk perniagaan mikro hanyalah RM100 setahun manakala RM200 untuk tempoh dua tahun.
Syarikat besar dan multinasional pula dikenakan yuran berjumlah RM1,000 sebulan dan RM2,000 untuk tempoh dua tahun.
Bagaimanapun, persepsi masyarakat tempatan masih skeptikal untuk memperoleh sijil halal antaranya sukar mendapatkan sijil halal, mahal dan lambat.
Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, tiga perkara tersebut merupakan antara alasan yang diterima daripada pihak industri sejak dahulu.
"Mereka hanya perlu menyediakan dokumentasi dan persediaan permohonan sijil halal yang memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya bagi memberi penjelasan berhubung masalah berkenaan.
Menurutnya, pemain industri boleh memohon sijil halal dengan berurusan terus di pejabat Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri tanpa menggunakan orang tengah atau ejen.
Jelas beliau, jika usahawan atau pemain industri benar-benar memahami prosedur standard yang berkaitan dengan produk ketika memohon persijilan halal, ia bukanlah perkara yang sukar seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.
Mahsuri menegakkan falsafah menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti selain tidak membenarkan produk yang tidak menepati spesifikasi sampai ke tangan pelanggan.
Ikut temu bual Sinar Harian bersama Ketua Komersil Mahsuri Food Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz, bagaimana syarikat telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan di sepanjang rantaian bekalan untuk menjaga keselamatan dan kualiti produk.
Sinar Harian: Ceritakan serba sedikit dr segi pengendalian bahan2 mentah dan penghasilan dr awal hingga ke peringkat pembungkusan?
Mohd Jazri: Oleh kerana Mahsuri menegakkan faksafah menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti pengguna, yang pada dasarnya bermaksud kami tidak membenarkan produk yang tidak menepati spesifikcasi ke tangan pelanggan kami.
Oleh itu, untuk mencapai matlamat, syarikat kami telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan di sepanjang rantaian bekalan untuk menjaga keselamatan dan kualiti produk kami.
Sebelum bahan mentah atau pembungkusan material tiba di kilang kami, pasukan teknikal akan melakukan satu siri penilaian seperti ujian untuk memastikan pematuhan bahan, audit pematuhan dengan pembekal kami untuk memastikan mereka mematuhi piawaian peraturan syarikat kami dan peraturan- negara yang berkenaan.
Setelah melalui pelbagai ujian dan penilaian, kami hanya membenarkan pembekal kami menghantar bahan tersebut ke kilang kami.
Apabila bahan mentah pembungkusan material tiba di kilang Mahsuri, pegawai Kawalan Kualiti (QC) akan melakukan rangkaian ujian mengikut spesifikasi yang telah dilulus sebelum melepaskan bahan mentah ini kepada bahagian pengeluaran.
Sepanjang pengeluaran, Mahsuri mempunyai proses pemantauan keselamatan makanan kami sendiri seperti rancangan pemantauan keselamatan makanan yang komprehensif, memasang mesin pemeriksaan makanan - perangkap magnet, alat pengesan logam, dan lain-lain untuk mengelakkan barang asing masuk ke dalam produk.
Di samping mesin pemeriksaan, pasukan QC akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk memastikan produk ini mematuhi spesifikasi sebelum dihantar kepada pelanggan.
Oleh itu, standard kualiti dan keselamatan produk yang tinggi tidak hanya dicapai dengan pengujian produk biasa, tetapi juga sangat bergantung pada merancang dan melaksanakan langkah-langkah kawalan yang komprehensif di seluruh rantaian bekalan, bermula dari audit pembekal, pemeriksaan bahan mentah, semasa proses pengeluaran sampai pelepasan produk kepada pengguna.
Sinar Harian: Dari segi pemantauan terhadap pengendali produk (pekerja) adakah SOP2 tertentu ditetapkan?
Mohd Jazri: Selain daripada mematuhi SOP2 yg ditetapkan oleh MKN disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 di seluruh negara ini, kami telah sedia mematuhi kehendak dan peraturan makanan yang telah ditetapkan oleh KKM.
Mahsuri telah mendapat pensijilan HACCP, GMP, Mesti, ISO 22000 di mana proaktif mengambil mengambil semua langkah pencegahan yang perlu. Ia bagi mengelakkan berlakunya masalah daripada risiko yang dikenalpasti melalui pengurusan keselamatan makanan daripada peringkat penerimaan bahan mentah sehingga pengeluaran makanan di pasaran.
Sinar Harian: Bagaimana dari segi pematuhan SOP secara keseluruhan utk memastikan pensijilan halal terus menjadi teras bisnes Mahsuri?
Mohd Jazri: Mahsuri merupakan pemegang sijil Halal JAKIM yang sah. Kami telah sedia mematuhi kehendak & keperluan piawaian Malaysia Standard MS 1500 dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM 2020).
Kami menjaga kehalalan setiap bahan mentah yang digunakan di dalam produk-produk Mahsuri hingga ke produk siap, kami mempunyai sistem HAS iaitu Sistem Jaminan Halal untuk memastikan produk keluaran Mahsuri sentiasa mematuhi kehendak halal.