KUALA LUMPUR - Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) serta perunding yang dilantik pemaju mengesahkan struktur bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, di sini, bermasalah dan berisiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan pada Isnin berkata, ia berikutan terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.
"Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column (tiang) dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack (rekahan permukaan akibat ketegangan) di beberapa permukaan tanah serta keretakan di bawah lantai.
"Tanda-tanda ini menunjukkan keadaan di kawasan itu adalah tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
DBKL berkata terdapat empat blok yang terkesan, membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni telah dinasihatkan untuk berpindah atas faktor keselamatan.
"Pihak Badan Pengurusan Bersama telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.
"Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan di dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera dan akan disemak oleh DBKL dan IKRAM,” katanya.
Menurutnya pada masa sama Ikram juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat.
Pada 18 Disember lepas, media melaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran Kondominium Sri Duta 1 berikutan hujan lebat berterusan di Lembah Klang. - Bernama