BNM terbit draf pendedahan pengurusan risiko iklim

Iklan

BANK Negara Malaysia telah menerbitkan Draf Pendedahan Pengurusan Risiko Iklim dan Analisis Senario yang menetapkan keperluan serta panduan mengenai pengurusan risiko iklim dan analisis senario.

Keperluan dan jangkaan khusus yang dicadangkan adalah bertujuan memastikan institusi kewangan mengukuhkan pengurusan risiko kewangan yang datang daripada perubahan iklim untuk meningkatkan daya tahan sektor kewangan terhadap risiko berkaitan iklim selain memudahkan peralihan yang teratur kepada ekonomi rendah karbon.

Iklan
Iklan

"Draf pendedahan ini melengkapkan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT), Rangka Kerja Taksiran Impak Pelaburan dan Pembiayaan Pengantaraan berasaskan Nilai (VBIAF) serta Panduan Sektoral VBIAF," kata bank berkenaan dalam laman webnya pada Isnin.

Bank pusat itu juga menjelaskan bahawa sehubungan dengan analisis senario dan ujian tekanan, ia akan memberikan panduan tambahan kepada institusi kewangan dalam kertas perbincangan yang akan datang mengenai Ujian Tekanan Perubahan Iklim, yang akan dikeluarkan menjelang suku pertama 2022.

Iklan

Kertas perbincangan ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas bagi mengukur kesediaan industri termasuk mengenal pasti cabaran berpotensi dalam bidang seperti reka bentuk senario iklim, liputan pendedahan kewangan, metodologi, tahap kebutiran dan jurang data.

BNM mempelawa maklum balas bertulis mengenai keperluan yang dicadangkan termasuk cadangan mengenai bidang yang perlu dijelaskan serta cadangan alternatif yang perlu dipertimbangkan oleh bank tersebut.

Iklan

Semua respons perlu dihantar kepada climatechange@bnm.gov.my menjelang 31 March 2022.

Draf yang didedahkan boleh diakses melalui https://www.bnm.gov.my/documents/20124/938039/ED_Climate_Risk.pdf. - Bernama