TOTTENHAM Hotspur melebarkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah pengurus baharu Antonio Conte kepada enam perlawanan dan naik ke tangga kelima, namun pengendali dari Itali itu enggan membuat sebarang perbandingan dengan Chelsea dibimbingnya ketika merangkul kejuaraan 2016/17.
Harry Kane, Lucas Moura dan Son Heung-min menjaringkan gol ketika Spurs menewaskan Crystal Palace 3-0, dengan kelab London itu kelihatan lebih tenang di bawah Conte, yang mengambil alih pada November selepas Nuno Espirito Santo dipecat selepas prestasi buruk.
Ketika ditanya sama ada Spurs sedang membina momentum dengan cara yang sama dengan pasukannya yang memenangi gelaran Chelsea, Conte berkata:"Tidak, saya fikir ia berbeza.
"Saya tidak suka membandingkan situasi yang berbeza. Saya masih ingat memulakan musim (2016/17) dan apabila anda memulakan musim, anda mempunyai kemungkinan untuk bekerja dengan pemain anda dan juga membuat keputusan mengenai pemain anda. Ini adalah berbeza."
Walaupun terdapat petanda peningkatan, Conte berkata, perjalanan Tottenham masih lagi jauh.
"Pastinya kami perlu terus meningkat, untuk mengeksploitasi keyakinan yang akan meningkatkan kami. Kami tahu sangat, saya tahu sangat, kami mempunyai tugas besar untuk dilakukan.
"Adalah bagus untuk mendapatkan tiga mata, untuk menjaringkan tiga gol dengan tiga penyerang anda. Ia bagus untuk mengekalkan rekod bersih."
Tottenham kini mengumpul 29 mata, enam di belakang Arsenal di tempat keempat, namun bermain kurang tiga perlawanan.