Pemandu kereta sewa ditahan, hantar PATI cari kerja

Iklan
Kereta sewa jenis Proton Waja yang digunakan suspek bagi menghantar suami isteri warga Indonesia tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah. Gambar kecil: Ahmad Adnan

BAGAN DATUK - Seorang pemandu kereta sewa yang dalam perjalanan menghantar sepasang suami isteri pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Kilometer 30 Jalan Feri Sabak Bernam ke Hutan Melintang di sini pada Isnin.

Lelaki berusia 62 tahun itu ditahan hasil pemeriksaan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) sekitar jam 9 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, anggota bertugas telah mengesan kenderaan jenis Proton Waja dipandu lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan semasa melalui SJR di situ.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan mendapati, terdapat seorang lelaki dan wanita warga Indonesia turut berada dalam kenderaan itu tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Iklan

"Anggota kemudiannya membuat tangkapan ke atas pemandu kenderaan itu kerana dipercayai cuba melindungi warga asing tanpa pasport dan dokumen diri yang sah.

"Kedua-dua PATI itu masing-masing berusia 49 dan 50 tahun yang merupakan suami isteri turut ditahan. Polis juga merampas kenderaan yang digunakan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pemandu berkenaan yang menjalankan perkhidmatan kereta sewa mengambil dua warga asing terbabit dari Kampung Merbau Berdarah di Sungai Besar, Selangor untuk dihantar ke Ipoh bagi tujuan mencari pekerjaan.

Katanya, pemandu itu mengenakan upah sebanyak RM350 bagi tujuan berkenaan.

"Pemandu tersebut telah diberi jaminan polis atas faktor kesihatan kerana perlu mendapatkan rawatan doktor pagi esok (Selasa).

"Polis telah melengkapkan siasatan kes di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan akan dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya bagi penelitian pihak pendakwaan," katanya.