PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) diminta menyelesaikan isu penggantungannya terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang kejohanan di peringkat dalaman termasuk Liga Sepak Takraw (STL).
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, PSM harus akur dengan hukuman penggantungan yang dikenakan terhadap badan induk itu sebelum ini.
"Semua presiden persatuan sepak takraw negeri di Malaysia perlu faham undang-undang dan peraturan antarabangsa selain kenapa ASTAF dan saya begitu tegas sekali dalam isu penganjuran STL.
"Ingin saya mengingatkan mereka supaya jangan terlalu emosi selain berani melakukan provokasi dan menentang ASTAF kerana ia adalah perkara yang tidak wajar dilakukan.
"Namun, saya tidak salahkan mereka kerana bukan semua presiden yang faham dengan undang-undang ASTAF atau Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF),” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Abdul Halim berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada pengadil ASTAF untuk tidak terbabit dalam penganjuran STL kali ini.
Pada Ahad, Abdul Halim dalam satu kenyataan memaklumkan ASTAF telah melarang empat pemain dari Thailand untuk beraksi dalam kejohanan tersebut.
"Sudah tentu ASTAF tidak boleh berkompromi dalam perkara ini. Mengapa mesti mencari jalan yang berliku sedangkan perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik?” tegasnya.
Abdul Halim berkata, pihaknya juga ada mendengar perkhabaran bahawa PSM mahu menggunakan undang-undang sendiri dalam penganjuran STL kali ini tanpa melibatkan pengadil ASTAF.
"Perkara ini akan diambil kira oleh ASTAF terutamanya apabila PSM memohon untuk bergabung dengan ASTAF. Ini kerana sudah tentu ASTAF akan bertindak menyingkirkan terus PSM daripada menjadi ahli gabungan ASTAF,” ujarnya.