SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) pada Isnin melaksanakan operasi pembersihan secara besar-besaran di kawasan banjir di Shah Alam, Hulu Langat dan Subang Jaya.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya mengubah modus operandi pembersihan dengan menghantar lori Roll On Roll Off (RORO) ke taman perumahan dan sampah tersebut akan dibuang ke stesen pemindahan sementara (TS) sampah pukal yang dibuka di lokasi terlibat banjir.
Menurutnya, KDEBWM turut menggerakkan lori muatan besar antara 10 dan 20 tan untuk mengutip sampah yang dilonggokkan di tepi jalan besar untuk dibuang ke TS atau terus ke tapak pelupusan sampah di Jeram.
"KDEBWM menggerakkan 500 aset lori RORO ke lokasi terlibat selain sewaan 50 jengkaut dan jentolak serta 50 lori pelbagai muatan untuk operasi besar-besaran pada Isnin.
"Sasaran kita cuba membawa keluar 2,000 hingga 3,000 tan sampah hari ini. Kalau boleh kerja-kerja dilanjutkan sehingga malam untuk selesaikan longgokan sampah banjir ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada perkembangan sama beliau berkata, KDEBWM turut mendapat kerjasama daripada polis untuk menutup jalan utama di Hulu Langat selama dua jam bermula 8 pagi Isnin untuk menghantar 48 lori RORO ke Taman Sri Nanding.
"Beberapa hari ini kami menghadapi kesukaran masuk ke lokasi kerana lorong sempit, jalan sesak dengan kenderaan terutama pada Sabtu dan Ahad lalu.
"Kita harap penduduk bersabar, memberi laluan dengan tidak keluar masuk ke taman perumahan kerana boleh menghalang atau melambatkan operasi lori membawa keluar sampah ke tapak pembuangan," katanya.
Beliau berkata, memasuki hari kelapan pembersihan, sebanyak 10,000 tan sampah telah diselesaikan pada operasi pasca banjir setakat Ahad.
Beliau menjangkakan kos operasi keseluruhan pasca banjir termasuk sewaan jentera luar diketahui minggu hadapan.