SHAH ALAM - Beberapa mangsa banjir yang terjejas di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini mengambil inisiatif sendiri menyewa tong sampah ‘Roll On Roll Off’ (RORO) untuk membuang sampah pukal di rumah mereka.
Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati beberapa tong yang disewa itu ditempatkan di beberapa kawasan bagi mengangkut sampah yang difahamkan dilonggokkan sejak Khamis lalu
Selain dikumpulkan di tepi jalan, terdapat banyak juga longgokan perabot, besi, karpet dan tilam rosak di hadapan rumah penduduk yang terjejas.
Seorang penduduk, Norsyahida Ismail, 35, terpaksa berbelanja sebanyak RM300 untuk menyewa tong sampah RORO paling murah bagi membersihkan longgokan sampah di hadapan rumahnya yang terkumpul sejak Khamis lalu yang menyebabkan ketidakselesaan keluarganya.
"Pembersihan sampah ini perlu dilakukan sendiri kerana pihak berkaitan mungkin mengambil masa lama untuk membantu. Sampah ini juga sudah lebih enam hari ditenggelami air dan berbau.
"Kami bimbang akan menyebabkan nyamuk dan tikus,” ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Isnin.
Norsyahida juga mendapati ramai penduduk di situ mengambil langkah menyewa tong besar itu secara persendirian atau berkongsi mengikut saiz keperluan sampah yang dibuang bagi memudahkan sampah pukal dibuang.
Pada masa sama, Norsyahida berkata, walaupun pengurusan pengambilan sampah di kawasan itu masih belum diketahui masa dan tarikhnya, namun dia memahami pihak berkuasa juga mempunyai kekangan untuk melakukan kerja pemunggahan di sekitar perumahan tersebut.
Sementara itu, Mohd Khairul Anuar Azizan, 39 berkata, walaupun pembersihan di kawasan rumahnya sudah selesai, namun dia agak khuatir dengan sampah di luar rumah yang masih banyak dan belum diuruskan.
Katanya, selain masalah bau dan risiko pembiakan nyamuk aedes, dia turut bimbang kemungkinan risiko penyakit lain yang boleh berlaku akibat longgokan sampah yang sudah lebih empat hari itu.
"Bau juga menjadi masalah kami terutama pada waktu malam. Jadi saya harap kawasan ini dapat dibersihkan segera bagi mengelakkan penyakit akibat bajir,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pekerja sukarelawan, Johnson Samuel, 56, berkata, syarikatnya telah menggerakkan kira-kira 16 lori sejak Ahad bagi membantu mengangkut sampah mangsa banjir di sekitar Seksyen 13, Seksyen 18 dan Seksyen 24.
"Selain dimasuki lumpur, rumah mangsa banjir juga banyak dimasuki sampah. Jadi kita tolong untuk bersihkan dengan bawa lori kita. Lori daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga ada tolong bantu bersihkan sampah,” ujarnya.