JAIS kumpul naskah al-Quran, buku agama terjejas banjir

Iklan
Mohd Shahzihan

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan pusat pengumpulan naskhah al-Quran dan buku agama yang musnah akibat banjir di enam lokasi di negeri tersebut bermula dari Isnin hingga Khamis.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, enam lokasi itu ialah Tanah Perkuburan Islam Sungai Serai (Hulu Langat); Tanah Perkuburan Islam Johan Setia ( Klang) dan Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya (Petaling).

Iklan
Iklan

"Dua lokasi lagi ialah di Masjid As-Solihin Kancong Darat (Kuala Langat); Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor (Kuala Selangor) dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya (Sepang)," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Mohd Shahzihan berkata, banjir melanda negara khususnya di Selangor mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan harta benda termasuklah naskhah al-Quran dan buku agama di masjid, surau, sekolah dan rumah persendirian.

Iklan

"JAIS telah menetapkan langkah-langkah yang perlu diambil mengenainya selaras dengan tanggungjawab jabatan ini untuk menjaga kesucian ayat al-Quran," ujarnya.

Katanya, semua pihak khususnya umat Islam di lokasi terjejas, diminta menghantar naskhah al-Quran dan buku-buku agama yang telah mengalami kerosakan ke masjid-masjid kariah yang berdekatan.

Iklan

"Pihak masjid hendaklah memastikan kesemua naskhah yang dihantar ditempatkan di ruang yang sesuai, selamat dan bersih serta jauh daripada laluan manusia atau haiwan bagi mengelakkan ia dilangkah dan dipijak serta diletakkan di kedudukan yang tinggi dari paras biasa persekitaran.

"Di tempat penyimpanan yang tidak berbumbung pula, pihak masjid hendaklah menutup bahan-bahan tersebut menggunakan plastik atau kanvas bagi mengelakkan ia basah akibat terkena air hujan," katanya.

Beliau memberitahu, JAIS akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menguruskan pengangkutan kesemua naskhah tersebut dari masjid-masjid kariah sehingga keenam pusat pengumpulan al-Quran dengan seberapa segera sebelum proses pelupusan dilaksanakan.

"Jabatan ini merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas segala usaha dan kerjasama kesemua pihak dalam menjaga kesucian al-Quran demi memartabatkan agama Islam di Selangor," katanya.