'Bencana terbesar dalam sejarah'

Iklan
Limpahan Sungai Cachoeira telah menenggelamkan bandar Itabuna. - Foto Agensi

SALVADOR - Angka korban hujan lebat dan banjir besar yang melanda negeri Bahia di timur laut Brazil sejak bulan lalu telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 20 orang pada Isnin selain hampir 63,000 penduduk hilang tempat tinggal.

"Kita berdepan bencana terbesar dalam sejarah negeri ini. Paras banjir mula surut di Sungai Cachoeira dan keadaan dijangka pulih dalam tempoh beberapa hari," kata Gabenor Bahia, Rui Costa yang turut mengawasi operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas sejak Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Costa juga mendakwa banjir terburuk itu berpunca daripada 'kesilapan yang dilakukan selama bertahun-tahun'.

Negeri yang berpopulasi kira-kira 15 juta penduduk menghadapi banjir sejak beberapa minggu lalu, namun ia semakin buruk pada akhir minggu lalu apabila dua empangan di bandar Jusiappe dan Itambe runtuh hingga menyebabkan keadaan menjadi huru-hara.

Iklan

Kebanyakan rumah penduduk dan jalan utama di beberapa majlis perbandaran di selatan turut ditenggelami banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak Khamis lalu.

Jumlah penduduk yang terpaksa berpindah juga telah meningkat dua kali ganda sejak Ahad.

Iklan

Jurucakap pasukan bomba Bahia, Manfredo Santan berkata, anggota penyelamat berjaya menyelamatkan kira-kira 200 penduduk di tiga bandar.

Dua penduduk terpaksa menggunakan tilam terapung untuk meredah banjir di Itapetinga. - Foto AFP

"Arus deras dibawa Sungai Cachoeira yang melimpah telah menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR)," jelasnya.

Difahamkan, kira-kira 358 individu turut dilaporkan cedera sejak hujan lebat bermula pada bulan lalu.

Pihak berkuasa menganggarkan 116 majlis perbandaran terkesan termasuk 100 berada di bawah keadaan darurat akibat cuaca buruk berterusan itu.

Sementara itu, akhbar O Globo melaporkan pihak berkuasa kini sedang memantau keadaan 10 empangan lain jika terdapat tanda ia juga mungkin akan runtuh dan memburukkan lagi situasi banjir di negara tersebut.

Menurut laporan itu, pemeriksaan ke atas infrastruktur awam dan perancangan bandar mula dibuat beberapa tahun selepas insiden sebuah empangan pelombongan runtuh di negeri Minas Gerais hingga meragut 270 nyawa. - Agensi