KUALA SELANGOR - Kepulan asap putih sebuah lori berpunca apabila pemandu terlanggar tiang dalam kejadian di sebuah stesen minyak di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian pada jam 3.40 pagi berlaku apabila pemandu lelaki berusia 29 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Batu 2 Pasir Tuntong singgah berhenti untuk mengisi minyak.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu lori bergerak ke hadapan lalu berhenti untuk mengundur dan mengambil jarak selamat.
"Bagaimanapun, mangsa kemudian tertekan pedal minyak dan kemudian mengundur lalu melanggar tiang di stesen minyak itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ramli berkata, kejadian itu menyebabkan lori terbabit mengalami kerosakan di bahagian belakang sehingga mengeluarkan kepulan asap.
"Siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala kes disiasat mengikut Peraturan 17 LN 166/59," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 pagi.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Laporan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori sampah dipandu seorang lelaki yang melanggar tiang stesen minyak menyebabkan lori berasap.
"Tiada kebakaran dan mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Tular di laman sosial video berdurasi 0.35 saat membabitkan sebuah lori yang mengeluarkan kepulan asap di sebuah stesen minyak pada Isnin.