IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengumpul lebih RM300,000 hasil kutipan di seluruh masjid dan surau diri Jumaat di negeri ini untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kutipan berkenaan dibuat pada 24 Disember lalu melibatkan 622 masjid dan 63 surau diri Jumaat semasa umat Islam mendirikan solat Jumaat.
"Kutipan sehingga serahan semalam (Isnin) telah mencecah RM306,000.
"Jumlah ini belum merangkumi semua kerana masih ada pihak masjid dan surau yang belum selesai membuat serahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Beliau berkata, sumbangan awal itu akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Perak iaitu di Changkat Jong dan Padang Rengas.
"Insya-ALLAH akan ada lagi serahan oleh pihak-pihak masjid dan surau diri Jumaat selepas ini (yang belum membuat serahan)," jelas beliau.
Sementara itu, satu notis dikeluarkan JAIPk pada 22 Disember lalu meminta agar setiap masjid dan surau diri Jumaat di Perak menyediakan tabung khas kepada mangsa banjir.
Hasil kutipan itu hendaklah disalurkan ke Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan.