PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menarik balik sekatan perjalanan sementara ke atas lapan buah negara susulan penularan varian Omicron yang dilaksanakan sebelum ini berkuat kuasa serta-merta.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, lapan negara itu membabitkan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.
Menurutnya, kesemua lapan negara itu akan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi, menjadikan jumlah negara yang berisiko tinggi kini adalah 18 buah.
"Selain lapan negara yang ditarik balik sekatan perjalanan sementara itu, 10 negara lain yang tersenarai negara berisiko tinggi adalah United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Arab Saudi, Norway, Perancis, Denmark, India dan Kanada.
"KKM juga ingin menasihatkan sekiranya bukan satu keperluan untuk melakukan perjalanan ke negara berisiko tinggi, adalah lebih baik untuk tangguhkan dahulu perjalanan buat masa ini,” katanya ketika sidang akhbar khas di kementeriannya di sini pada Selasa.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Khairy berkata, terdapat 306 kes kemungkinan Omicron di dalam negara masih menunggu hasil kajian.
Katanya, perincian mengenai jangkitan itu akan dibuat selepas memperoleh keputusan nanti.