KAJANG - Kerajaan Persekutuan digesa menaiktaraf longkang di Jalan Semenyih di sini bagi menampung jumlah air yang banyak terutama ketika musim hujan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian berkata, pihaknya melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pernah mengadakan mesyuarat bulanan infrastruktur beberapa kali bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengutarakan perkara tersebut.
Namun begitu, Loy Sian mendakwa pihak JKR tidak mempunyai bajet untuk berbuat demikian menyebabkan banjir di kawasan sekitar seperti Taman Lembah Mewah sering berlaku setiap tahun.
Menurutnya, banjir kilat yang melanda kawasan perumahan tersebut berpunca daripada longkang di Jalan Semenyih di sini yang tidak diselenggara.
"Saya menerusi Ahli Majlis MPKj dalam mesyuarat bulanan Infrastruktur MPKj minta JKR Persekutuan beberapa kali supaya menaik taraf longkang dengan melebar dan membesarkan longkang sedia ada di Jalan Semenyih di sini.
"Tetapi JKR Persekutuan kata tiada bajet, walhal longkang sedia ada tidak dapat menampung jumlah air hujan yang lebat," ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut berkenaan banjir di Taman Lembah Mewah di sini, Loy Sian berkata, longkang yang dibina oleh pihak MPKj hanya boleh menampung saliran di taman perumahan tersebut dan tidak direka untuk menerima air dari longkang Jalan Semenyih di sini.
Namun begitu, katanya, longkang di Taman Lembah Mewah yang pecah akibat limpahan air dari Jalan Semenyih tersebut akan diperbaiki oleh pihak MPKj.
"Longkang di bawah Taman Lembah Mewah, di sini pecah kerana ia tidak dapat menampung jumlah air yang melimpah dari Jalan Semenyih di sini.
"Kalau longkang di Jalan Semenyih dapat mengalirkan air hujan dengan lancar, ia tiada akan mengganggu longkang di bawah Taman Lembah Mewah kerana reka bentuknya hanya untuk saliran di Taman Lembah Mewah itu sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Loy Sian turut menyangkal dakwaan bahawa banjir kilat yang berlaku di sini pada Isnin menenggelamkan kawasan tersebut kerana ia tidak seteruk seperti yang dilaporkan.
Sebaliknya, Loy Sian berkata, banjir kilat tersebut hanya melanda dua hingga tiga kawasan di sini dan surut dalam masa 30 minit hingga sejam.
"Banjir kilat semalam yang berlaku di Kajang tidak seteruk macam dilapor oleh sesetengah media dan gambar ditularkan dalam media sosial seolah-oleh seluruh kawasan Kajang ditenggelami oleh air.
"Ia hanya berlaku di dua hingga tiga kawasan Kajang, yang mana air banjir mula surut dalam masa setengah hingga satu jam," katanya.