Rumah musnah akibat banjir, lapan sekeluarga tumpang PPS

Iklan
Atikah dan anak bongsunya mencari barangan masih boleh digunakan selepas sebahagian besar rosak ditenggelami banjir.

JELEBU - Walaupun sudah lebih seminggu bencana banjir berlaku, lapan sekeluarga masih menumpang teduh di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Puom di sini.

Atikah Mohamad Ali, 43, bersama suami dan enam anak mereka berusia lima hingga 22 tahun masih tinggal di PPS kerana rumahnya di Kampung Telekong di sini musnah teruk sehingga tiada apa yang dapat diselamatkan.

Iklan
Iklan

"Sejak hari pertama banjir, sampailah hari ini (Selasa), kami sekeluarga tinggal di PPS.

"Tak tahulah berapa lama lagi kami akan tinggal di sini. Pakaian dan makanan semua cukup, tiada masalah, cuma kurang selesa kerana kami keluarga besar," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Iklan

Atikah berkata, dia berharap penempatan baharu yang dijanjikan kerajaan negeri dapat disiapkan dalam masa terdekat.

Buat masa ini, katanya, dia sekeluarga memilih untuk tinggal di PPS kerana tidak mahu menyusahkan keluarga terdekat.

Iklan
Keadaan rumah Atikah di Kampung Telekong, Jelebu selepas dilanda banjir.

"Pihak berkaitan sudah mengambil nama untuk penempatan baharu. Tapi tak tahulah bila rumah itu akan siap. Mereka kata sedang dalam proses.

"Saya reda dengan ujian yang ditanggung ini. Yang penting kami semua selamat," ujarnya.

Menceritakan kejadian banjir itu, Atikah berkata, anak-anaknya telah keluar lebih awal sebaik saja mendapati air di kawasan rumahnya naik.

Atikah dan suami bagaimanapun terus menunggu di rumah, bagaimanapun diarahkan untuk berpindah segera oleh polis selepas paras air terus meningkat.

"Air sangat laju. Saya hanya sempat membawa pakaian dan sijil kelahiran anak.

"Masuk hari keempat, barulah kami boleh pulang ke rumah. Tapi tiada apa lagi yang tinggal," katanya sambil menjelaskan bahawa rumah berkenaan adalah rumah pusaka keluarga suami.

Tambah Atikah, dia sekeluarga berpindah ke rumah berkenaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.