KUALA TERENGGANU - Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan di sebuah wakaf di tepi jalan raya di Kampung Tayor, dekat Sungai Tong di sini pada tengah malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, bayi tersebut ditemui oleh dua orang pemuda yang sedang memberhentikan kereta untuk menyejukkan enjin di tepi jalan pada pukul 12.45 tengah malam.
Iklan
Iklan
"Sewaktu berhenti di lokasi kejadian, saksi telah terdengar suara tangisan yang pada awalnya disangka suara kucing, namun setelah dilihat secara dekat ia adalah bayi dan mereka terus melarikan diri kerana ketakutan dan menyangkakan diganggu makhluk halus,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Afandi berkata, pada pukul 6 pagi Selasa, dua pemuda tersebut kembali semula ke lokasi kejadian dan mendapati bayi itu masih berada di situ.
Katanya, bayi tersebut ditemukan dengan hanya beralaskan kain tudung dan mereka terus membawanya ke rumah anggota keluarga rakan mereka sebelum melaporkan kepada polis.
Bayi yang ditemukan di lokasi lebih kurang satu kilometer dari kawasan penempatan penduduk itu didapati berada dalam keadaan kesejukan, mempunyai kesan darah dan masih bertali pusat, katanya.
Menurutnya, bayi seberat tiga kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh beberapa jam sebelum ditemukan dan tidak mengalami sebarang kecederaan."Bayi tersebut telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan susulan,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat Seksyen 317 Kanun Keseksaan. - Bernama