SEPANG - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mencabul seorang suri rumah di kawasan tempat letak kereta di Tamarind Square, Cyberjaya di sini 21 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian mangsa berusia 31 tahun bersama anaknya berusia dua tahun dalam perjalanan ke tempat letak kereta di tingkat dua selepas selesai membeli belah sekitar jam 11.45 pagi.
"Seorang lelaki bangsa tidak pasti dan tidak dikenali telah datang dari arah belakang dan terus memeluk dan meraba mangsa.
"Mangsa terus menjerit dan meminta pertolongan tetapi tiada siapa berada di tempat kejadian kemudian lelaki tersebut telah melarikan diri ke arah tidak pasti.
"Pengadu berasa trauma dengan kejadian tersebut dan telah menghubungi suaminya untuk meminta bantuan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, polis masih berusaha mengesan lelaki terbabit berikutan mangsa tidak dapat mengenal pasti wajah.
"Mangsa tidak nampak wajah suspek kerana suspek memakai penutup muka. Suspek memakai seluar panjang berwarna hitam tetapi mangsa tidak cam warna baju suspek.
"Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian. Pegawai penyiasat meminta pihak penyelia menyemak CCTV di mana tempat mangsa pergi dan kesan suspek sekiranya ada yang mengekori mangsa dari awal,"ujarnya.