RANTAU PANJANG - Seorang warga emas tidak lena tidur dan mengalami tekanan darah tinggi apabila memikirkan keadaan rumahnya yang dimasuki air sedalam tiga meter di Kampung Tersang, Gual Tok'Deh di sini.
Kamariah Latiff, 82, berkata, dia amat terkejut dengan kenaikan air mendadak minggu lalu sehingga memaksa dia bersama anak dan cucunya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual Tok' Deh selama seminggu.
Menurutnya, selain risaukan keadaan rumahnya, dia juga bimbang dengan dua ekor biri-biri peliharaannya yang ditinggalkan di rumah.
"Banjir baru-baru ini memang teruk dan air naik mendadak. Semasa banjir besar 2014, air tidak masuk dalam rumah, tapi kali ini air naik hingga paras pinggang.
"Selepas itu, saya pindah ke rumah anak di sebelah, namun rumahnya juga dinaiki air paras betis," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Warga emas yang keuzuran itu juga sempat berkongsi buat pertama kalinya dia mengalami tekanan darah tinggi semasa berada di PPS akibat terlalu bimbang dengan keselamatan rumah dan biri-birinya.
Katanya, sebelum ini dia tidak pernah mengalami penyakit itu, namun mungkin terlalu risaukan keadaan semasa dan tidak cukup tidur, tekanan darahnya naik selama beberapa hari.
"Selepas dibenarkan pulang ke rumah, tekanan darah kembali normal dan kandang biri-biri yang sebelum ini berada di bawah rumah kini diletakkan di sebelah rumah bagi memudahkan operasi menyelamat jika berlaku banjir besar," katanya.