SHAH ALAM- Gurdwara Sahib Petaling Jaya (GSPJ), Selangor mengakui menerima banyak kritikan dan tekanan hebat yang meragui status halal makanan percuma yang disediakan pihaknya untuk mangsa banjir di sekitar kawasan Lembah Klang.
Presiden Gurdwara Sahib Petaling Jaya, Awtar Singh Terry bagaimanapun berkata, ia tidak mematahkan semangat mereka, malah berasa bangga kerana berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai bangsa dan agama untuk turut sama membantu di bawah satu bumbung.
Apa yang lebih mengharukan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut memberikan sokongan dan turun padang bagi melihat sendiri penyediaan makanan oleh GSPJ.
"Saya amat terkejut apabila ia dibangkitkan oleh netizen dan orang yang tidak sensitif pada isu ini.
"Saya nak jelaskan, makanan yang disediakan oleh Gurdwara ini adalah daripada sayur-sayuran dan sebelum memotong, kita bersihkannya dan tentukan bahawa tempat penyediaan makanan itu bersih.
"Sebelum mula memasak, kita akan pastikan mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan mencuci makanan dengan bersih. Kita juga menitikberatkan kebersihan dan makanan yang disediakan tidak mengandungi unsur daging langsung.
"Tekanan yang diterima memang hebat tapi saya gembira apabila berjaya mengumpul semua masyarakat yang berbilang bangsa dan agama seperti Melayu, Cina dan India untuk membantu,” katanya dalam Wacana Sinar Siri 314 yang bertajuk Sampai Bila #RakyatJagaRakyat yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu pelakon, penyampai radio dan sukarelawan, Sharifah Shahirah dan Ketua Pegawai Eksekutif MCPlus Education Sdn Bhd, Sir Shakib.
Mengulas lanjut, Awtar berkata, Gurdwara menyediakan makanan ‘vegetarian’ dan selamat dimakan serta sering menjadi pilihan alternatif sekiranya sukar mendapatkan makanan halal terutamanya di luar negara.
Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan sesiapa kerana mungkin kurangnya pendedahan terhadap makanan yang disediakan oleh Gurdwara menyebabkan ada yang salah faham dan meragui akan status halal makanan berkenaan.
"Saya amat sedih apabila isu ini timbul tapi kita kena fokus kepada perkara yang lebih besar iaitu membantu mangsa banjir yang terkesan dan memerlukan makanan. Di sebalik apa yang berlaku, saya kagum melihat orang ramai yang berbilang bangsa dan agama bersama-sama berganding bahu membantu mereka yang ditimpa kesusahan,” jelasnya.