TAIPING - Kesempitan hidup yang dialami sepasang suami isteri memaksa mereka menjadikan ruang belakang sebuah rumah tinggal di Kampung Baru Jalan Tokong India di Kamunting di sini sebagai tempat berteduh sejak empat tahun lalu.
Ruang kecil itu hanya mampu mereka isi dengan tilam, tong gas, dapur serta almari untuk mereka simpan barangan rumah dalam keadaan bumbung bocor serta dinding yang semakin mereput.
Marzuki Abdul Manaf, 57, berkata, mereka tiada pilihan kerana tidak mempunyai saudara mara di sini ditambah hilang punca pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 yang menyukarkan mencari rumah lain.
Menurutnya, rumah itu adalah milik kenalan lamanya yang telah berpindah ke Kuala Lumpur dan atas dasar simpati, keluarga itu sudi menumpangkan mereka di rumah berkenaan tanpa mengenakan sebarang sewa.
"Walaupun berbeza agama, dia tetap sudi bantu saya dan isteri, Aida Ahmad, 33, dengan memberikan tempat tinggal.
"Dia kata tak payah bayar sewa, cukuplah kami jaga dan tengok-tengokkan rumah sepanjang mereka tiada di sini," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Marzuki yang lahir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan membesar di Taiping berkata, sebelum ini dia mengambil upah melakukan kerja kampung sementara isterinya berniaga makanan secara kecil-kecilan dengan menjual laksa Sarawak dan kek lapis untuk menampung hidup.
Katanya, wang itu selain untuk membeli makanan dan barangan keperluan asas, mereka gunakan untuk membaiki serba sedikit keadaan rumah termasuk bumbung-bumbung yang bocor.
"Sepanjang tempoh Covid-19 ini, dah tak banyak upah saya dapat, kerja pun tak ada. Tambahan pula sekarang isteri saya sudah tidak mampu berjalan akibat jatuh di bilik mandi beberapa bulan lalu.
"Untuk meneruskan hidup, kami banyak bergantung kepada ihsan keluarga sebelah isteri yang memberi bantuan kewangan selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang bekalan makanan," katanya.
Dia berkata, keadaan rumah itu semakin usang dan tidak lagi selamat untuk didiami menyebabkan rakannya meminta mereka segera berpindah mencari kediaman lain.
"Kawan saya beritahu dia mahu roboh rumah ini sebab dah tak selamat kerana banyak kerosakan. Memandangkan kami tiada rumah untuk duduk, saya merayu supaya diberi masa untuk cari rumah lain," katanya.
Sementara itu, Aida berkata, dalam keadaan tidak mempunyai sumber kewangan, mereka menemui jalan buntu untuk mencari rumah sewa yang lain.
Malah katanya, disebabkan ketiadaan wang, mereka pernah terputus bekalan makanan selama beberapa hari.
"Mahu cari rumah sewa bukan senang, kalau ada pun sewanya antara RM600 ke RM700 sebulan, kami memang tidak mampu.
"Kadang-kadang keluarga ada berikan duit untuk belanja, jika mereka kirim duit dapatlah kami beli makanan. Mahu kerap minta tolong pun, mereka juga perlu gunakan duit," katanya.
Nasib pasangan suami isteri ini mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen (KMM) Taiping yang tampil membantu mendapatkan rumah baharu untuk mereka.
Wakilnya, Md Zukry Ahmad memberitahu, pihaknya sedang menguruskan proses perpindahan tersebut dengan bantuan beberapa pihak termasuk penghulu dan pegawai daerah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank atas nama Aida Binti Ahmad, 1611-9013-4342 atau menghubunginya di talian 017-8571 061.