'Tuntut ilmu dengan ikhlas, kerana ALLAH'

Iklan
Raja Roslinda dan suaminya, Zailan Sudin mencium Nazira yang telah berjaya mendapat 11A dalam SPM ketika ditemui di MTNP di sini, hari ini.

KUANTAN - Menjaga perhubungan baik dengan cikgu dan kawan demi mendapat keberkatan dalam mendidik ilmu merupakan adalah antara kunci kejayaan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, Nazira Zainal, 18 yang diumumkan semalam.

Beliau yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang mendapat keputusan 8A+3A sangat bersyukur kerana sama sekali tidak menyangka akan dipilih sebagai pelajar terbaik kerana selama ini beliau bukanlah pelajar yang cemerlang sekolah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terpilih untuk belajar di MTNP telah memberi sinaran hidup buat dirinya kerana guru-guru sangat menitik beratkan amalan yang baik dan banyak memberikan tips-tips mudah dalam menjawab SPM dan rakan-rakan yang banyak membantunya dalam pelajaran.

"Saya bersyukur dan gembira kerana penat lelah saya selama ini membuahkan hasil dan warga MTNP tidak kira cikgu dan rakan-rakanlah yang saya mampu berjaya smpai ke tahap ini...tanpa mereka tidak mungkin saya berada di sini.

Iklan

"Ini semua tentang kesungguhan dan berkat doa mak ayah dan juga cikgu serta kawan-kawan yang sentiasa berada di sisi saya kerana keberkatan itu penting kerana kita perlu mencari keberkatan dalam mendidik ilmu.

"Dalam apa-apa perbuatan terutamanya dalam menuntut ilmu, kita kena ikhlaskan diri kita dan melakukan sesuatu itu kerana ALLAH, Insy-ALLAH kejayaan itu pasti akan dicapai," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan

Nazira berkata semangat untuk terus belajar agar mendapat keputusan yang cemerlang itu didorong kuat apabila beliau mengenangkan jasa kedua ibu bapanya dan guru-guru yang tidak jemu mencurah ilmu serta rakan-rakan yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepadanya.

"Saya sangat gembira kerana dapat merealisasikan impian ibu bapa saya yang sangat menginginkan saya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

"Saya berharap agar keputusan ini dapat dijadikan contoh kepada adik-adik Tingkatan Lima yang akan menduduki SPM pada tahun ini," katanya yang bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas (UTP)

Tambahnya, Nazira berkata dirinya akan memfokuskan dulu pembelajaran dengan belajar terlebih dahulu subjek yang akan diajar oleh cikgu untuk mudah dirinya memahami subjek tersebut.

Dalam pada itu, ibunya, Raja Roslinda Raja Ishak, 51 berkata kejayaan anaknya itu merupakan berkat usaha anaknya yang bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM.

"Dia merupakan seorang anak yang sangat berdisplin dan tidak pernah tinggal mengamalkan Surah Luqman dan Al Waqiah serta solat dhuha pada setiap hari.

"Saya selalu nasihatkan dia untuk mendekati al-Quran..Alhamdulillah kalau dia tengah belajar tapi tidak dapat fokus dia akan membaca al-Quran untuk memudahkan dirinya untuk fokus semula dalam pembelajaran," katanya.

Kejayaan MTNP ini telah menjadikan maahad tahfiz tersebut dalam kedudukan nombor satu untuk sekolah cemerlang SPM Negeri Pahang enam kali berturut-turut.