PERSEDAR minta PSM, ASTAF segera atasi kemelut

Iklan
Mohd Jaffrey Mohd Zainol (Kanan: Laporan Sukan Sinar pada 28 Disember lalu.)

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) digesa mengakhiri segera isu dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi membolehkan program pembangunan sukan tersebut berjalan lancar.

Menurut Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR), Mohd Jaffrey Mohd Zainol, isu yang membelenggu PSM ketika ini memerlukan penyelesaian lebih proaktif daripada kepimpinan badan induk berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sebagai ahli gabungan, isu yang berlanjutan ini tidak hanya merugikan pembangunan sepak takraw negara tetapi juga iklim sukan tersebut di negara jiran seperti Thailand dan Singapura yang turut berkait dengan sukan ini.

"Liga Sepak Takraw (STL) ini merupakan satu jenama besar, tidak hanya buat sukan sepak takraw negara tetapi juga sesuatu yang boleh dibanggakan komuniti takraw negara.

Iklan

"Perkara ini tidak boleh dilengah-lengahkan lagi sebaliknya perlu penyelesaian segera kepimpinan PSM, yang saya percaya itulah yang tidak hanya dimahukan PERSEDAR dan ahli gabungan PSM lain tetapi juga komuniti takraw,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada Isnin, ASTAF memberi peringatan kepada PSM untuk sekali lagi menyelesaikan isu penggantungannya terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang kejohanan di peringkat dalaman termasuk STL.

Iklan

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan, PSM harus akur dengan hukuman penggantungan yang dikenakan terhadap badan induk itu sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohd Jaffrey berkata, PERSEDAR juga mahu isu tersebut diselesaikan sebelum bermulanya saingan STL pada Januari depan.

"Moga akan ada penyelesaian segera kerana sekiranya isu di antara ASTAF dan PSM ini meleret-leret sehingga memasuki musim saingan STL, saya bimbang semua pihak akan terpalit kesannya.

"STL ini seboleh-bolehnya kita mahu teruskan lagi pada masa depan, saya risau jika tidak diselesaikan berkemungkinan ini penganjuran terakhir seterusnya kerugian kepada komuniti takraw semua,” ujarnya yang juga Pengurus Perak Bison.