SHAH ALAM - Satu kertas siasatan perlu dibuka terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan isu meluluskan 943 projek yang tidak selaras dan melanggar pelan asal jabatan tersebut.
Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz berkata, ia termasuk enam kolam takungan banjir yang dijadikan projek pembangunan perumahan dan projek campuran.
Menurut beliau, apabila kolam takungan ditukar fungsi, air tidak dapat ditakungkan sehingga menyebabkan ia melimpah ke kawasan perumahan serta bandar, seterusnya mendatangkan banyak kesan terhadap alam sekitar, antaranya banjir kilat.
"Saya mendengar sidang media Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh. Selepas mendengarnya, memang saya jadi marah. Ini kerana DBKL telah meluluskan 943 projek dari tahun 2015 hingga 2020 yang melanggar dan tidak selaras dengan Pelan DBKL.
"Ini bukan tuduhan semata-mata. Ini merupakan satu laporan daripada Ketua Audit Negara. Maknanya laporan yang betul. Benda-benda ini semua akan menguntungkan siapa, adakah akan menguntungkan rakyat?
"Kolam takungan banjir berfungsi untuk memastikan apabila ada hujan yang sangat lebat, air akan ditakungkan di dalam kolam dan tidak akan melimpah ke kawasan perumahan, pusat bandar.
"Bila kolam takungan air ini tidak ada, sebab itu berlaku banjir di Kuala Lumpur yang teruk seperti baru-baru ini,” katanya dalam satu hantaran video di Twitter beliau pada malam Selasa.
Amira berkata, dalam laporan tersebut juga menyatakan bahawa projek ambil alih itu tidak menghiraukan nasihat jabatan dan agensi bertanggungjawab.
"Buat apa nak ambil nasihat kalau tidak mahu dengar? Banjir yang berlaku baru-baru ini telah mengorbankan hampir 50 nyawa, lebih 70,000 orang hilang tempat tinggal.
"Berbaloikah menyediakan projek-projek ini kepada pemaju-pemaju besar, sampai rakyat sendiri hilang tempat tinggal dan hilang nyawa. Masalah-masalah seperti ini perlu diselesaikan dengan segera,” ujar beliau.