JPPH sebagai perantara tentukan nilai harta, harga rumah

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

PUTRAJAYA - Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) diberi kuasa oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk menjadi perantara bagi menentukan nilaian sesebuah harta yang ingin dibeli peminjam dan menilai harga rumah bagi mereka yang ingin membuat pinjaman pembinaan.

Ia adalah hasil memorandum persefahaman (MoU) antara LPPSA dan JPPH yang dimeterai secara dalam talian pada Rabu bagi perkongsian maklumat dalam bidang penilaian pembiayaan perumahan sektor awam.

Iklan
Iklan

"MoU ini sebagai permulaan menambah baik proses kerja sedia ada bagi meningkatkan perkhidmatan kepada penjawat awam,” menurut LPPSA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu sempena pemeteraian MoU itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd Farid Datuk Nawawi dan Ketua Pengarah JPPH, Datuk A’zmi Abdul Latif.

LPPSA beroperasi sebagai badan berkanun pada 1 Januari 2016 setelah ditubuhkan mengikut Akta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2015 dengan mengambil alih fungsi keseluruhan Bahagian Pinjaman Perumahan di bawah Perbendaharaan untuk menguruskan pembiayaan perumahan bagi sektor awam. - Bernama

Iklan
Iklan