Motosikal hilang, ditipu pula 'scammer'

Iklan
Motosikal milik Azhar yang hilang. Gambar kecil: Azhar Yaakop

JASIN - Malang nasib seorang pekerja syarikat kurier apabila bukan sahaja kehilangan sebuah motosikal malah diperdaya 'scammer' yang kononnya mahu membantu mendapatkan semula motosikal tersebut.

Azhar Yaakop, 31, tidak menyangka ada individu tidak bertanggungjawab menghubunginya selepas dia menularkan di Facebook motosikal jenis Yamaha LC miliknya yang hilang di depan rumah ketika keluar menunaikan solat maghrib.

Iklan
Iklan

Menurutnya, individu itu memaklumkan telah membayar sejumlah wang untuk menahan seorang individu yang didakwa mencuri motosikal miliknya sebelum meminta dia membuat pembayaran sebanyak RM250.

Katanya, kerana percaya dan terlalu mahukan motosikal itu dikembalikan dia kemudiannya memasukkan wang yang diminta ke dalam sebuah akaun.

Iklan

"Individu itu memberitahu motosikal saya sudah ditemui dan dijual dengan harga RM1,500. Dia juga memaklumkan telah membuat bayaran sebanyak RM1,250 untuk membantu saya dan meminta wang tambahan sebanyak RM250.

"Saya sangat teruja ketika itu lalu memasukkan wang seperti yang diminta namun sehingga sekarang dia tidak dapat dihubungi.

Iklan

"Dalam kesusahan saya, ada juga yang mengambil kesempatan. Saya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau," katanya.

Azhar juga memaklumkan membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau berhubung kehilangan motosikal pada 26 Disember lalu.

Jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini, dia menggunakan motosikal tersebut untuk berulang-alik ke tempat kerja di Tampin, Negeri Sembilan selain menjual makanan ringan di sekitar Merlimau selepas tamat waktu kerja untuk mencari pendapatan sampingan.

Azhar juga bernazar untuk sedekahkan sejumlah makanan ringan dan 100 batang aiskrim kepada kanak-kanak sekiranya motosikal tersebut ditemui dengan selamat.

"Motosikal itu membantu saya menambahkan pendapatan kerana keluarga semakin besar selepas isteri selamat melahirkan anak kembar tiga bulan lalu.

"Saya merayu jika ada yang mempunyai maklumat mengenai motosikal saya nombor plat MDC 4281 dapat menghubungi saya atau balai polis berdekatan," katanya.