Penduduk kurangkan aktiviti di luar rumah

Iklan
Penunggang motosikal menggunakan topeng muka.

PASIR GUDANG - Pencemaran toksik di daerah ini menyebabkan orang ramai mengehadkan aktiviti di luar rumah sebagai langkah waspada terutama yang tinggal di sekitar Taman Pasir Putih, di sini yang terletak kira-kira 3km dari Sungai Kim Kim.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pengguna jalan raya memakai topeng dan ada juga yang mengabaikan penggunaannya, selain rata-rata restoran di kawasan komersial Pasir Putih lengan dan kurang pelanggan.

Iklan
Iklan

Peniaga, Johar Nordin, 30, berkata, sejak kebelakangan ini keadaan di kawasannya menjual pisang goreng dilihat semakin sunyi dan tidak seperti kebiasaannya malah hasil perniagaan diusahakan sejak tahun lalu juga mencatatkan kemerosotan.

Johar ditemui di gerainya.

Iklan

"Sebelum ini sehari saya boleh dapat lebih RM200, tetapi sejak seminggu kebelakangan ini pelanggan saya memang berkurangan.

"Sekarang sehari saya hanya boleh dapat RM100 hasil jualan kuih ini. Memang ramai yang tak keluar rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, hari ini.

Iklan

Seorang lagi orang awam yang ditemui, Fadil Kemat, 42, berkata, sejak kejadian pencemaran toksik dia dan keluarga memilih untuk mengehadkan aktiviti luar terutama membabitkan anak-anaknya.

Fadil Kemat

Dia yang tinggal di Taman Tanjung Puteri di sini berkata, anak kepada jirannya juga terkesan akibat pencemaran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

"Anak jiran saya terkesan dan menerima rawatan di hospital, mereka juga sudah tidak menetap di rumah, rasanya pulang ke kampung halaman.

"Memang bimbang dan risau sejak daripada kejadian pertama tempoh hari. Topeng muka juga sentiasa kami pakai,” katanya.