SHAH ALAM -"Jika jiran sebelah tidak pergi cari bot sendiri, barangkali kami akan terus terperangkap sampai banjir surut.”
Itu luahan Ajit Singh, 54, antara ribuan penduduk Taman Sri Muda, dalam bencana banjir yang mereka sifatkan terburuk dalam tempoh 20 tahun.
Menceritakan kembali detik hitam pada 18 Disember itu, Ajit berkata, mereka sekeluarga langsung tidak menjangkakan paras air boleh naik sehingga mencecah tingkat dua rumah mereka.
"Ketika air mula naik, kami jangka ia mungkin setinggi paras pinggang. Itu yang terjadi sewaktu taman ini dilanda banjir sekitar 90an. Tetapi kali ini luar biasa.
"Kami terperangkap di tingkat atas sehingga tiga hari, sebelum akhirnya jiran sebelah mengambil keputusan untuk pergi meredah banjir, dapatkan bot sendiri,” katanya ketika ditemui Astro Awani hari ini.
Ajit ketika sedang giat membersihkan rumah berkata, dirinya, isteri serta empat orang anak mereka akhirnya berjaya menyelamatkan diri pada pukul 2 pagi, 21 Disember, hasil inisiatif jirannya.
Tinjauan Astro Awani di sekitar Taman Sri Muda, mendapati keadaan di sini amat menyedihkan, dengan deretan kenderaan pelbagai jenis yang tersadai, serta sampah-sarap tinggalan banjir yang terpaksa dikumpulkan sendiri oleh penduduk setempat.
Untuk rekod, korban akibat banjir di Selangor mencecah 25 orang, dengan Taman Sri Muda, Shah Alam mencatatkan jumlah kematian paling tinggi.
Dalam pada itu Ajit berkata, dia berharap agar pihak kerajaan, sama ada negeri atau persekutuan, dapat mengambil kira kepayahan mereka untuk membuat penggantian dokumen yang rosak, atau membuat tuntutan pampasan.
"Saya diberitahu, kalau nak buat tuntutan, kena pergi ke Pejabat Daerah di Klang. Apa salahnya kalau mereka (agensi) buat kaunter bergerak?
"Saya rasa kalaulah polis turun sini buat balai polis bergerak lebih menyenangkan kami untuk membuat laporan. Sudahlah kami tak boleh tinggal di sini kerana keadaan yang kotor, nak kena ulang-alik sampai ke Klang pula,” luahya lagi.
Dalam pada itu, kontraktor elektrik, M Aru ketika ditemui Astro Awani berkata, dia turun ke Taman Sri Muda untuk menawarkan khidmat pembaikan elektrik bagi rumah yang terjejas.
"Bila keadaan sudah mula okey, saya rasa saya kena turun tawarkan bantuan apa yang boleh. Sebab tu saya turun jumpa penduduk mana yang memerlukan bantuan untuk pendawaian.
"Setakat ini saya sasarkan 10 rumah untuk saya tolong. Satu rumah dalam RM1,000... jadi saya nak cuba cari sepuluh rumah dahulu,” katanya lagi. - Awani