Petronas nafi dakwaan bekerjasama dengan Serba Dinamik

Iklan
Foto 123RF

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) menafikan sebarang kerjasama dengan Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik) untuk bersama-sama menarik pelabur dalam mana-mana projek ketika Ekspo 2020 Dubai.

Syarikat gergasi minyak itu berkata, demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan pasukan undang-undang Serba Dinamik yang dilaporkan dalam Free Malaysia Today hari ini, bertajuk"Serba Dinamik CEO charged over alleged false statement on company affairs.”

Iklan
Iklan

Menurut laporan itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah akan menghadiri ekspo perdagangan itu pada bulan depan untuk menarik pelabur, dan"Serba Dinamik dan Petronas akan membawa masuk pelaburan sebanyak RM33.9 bilion.”

Petronas dalam kenyataannya pada Rabu berkata:"Petronas menafikan sebarang bentuk kerjasama dengan Serba Dinamik untuk bersama-sama menarik pelabur dalam mana-mana projek ketika Ekspo 2020 Dubai, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan ini, tiada sebarang kerjasama lain untuk bersama-sama menarik pelabur melalui platform lain.”

Iklan

Abdul Karim didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu berhubung hal ehwal Serba Dinamik kepada Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia). - Bernama

Iklan