MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) telah memperketat kriteria bagi atlet di bawah Kategori B untuk menyertai tiga temasya sukan utama tahun depan iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
Bagi Sukan SEA, Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Jawatankuasa Pemilihan MOM mempunyai kriteria yang telah diperketat iaitu atlet individu di bawah Kategori B perlu berada dalam kelompok enam terbaik bagi melayakkan diri ke temasya terbabit berbanding lapan sebelum ini dalam acara sukan masing-masing.
"Untuk layak sebagai Kategori A, atlet mestilah sekurang-kurangnya berada dalam kelompok tiga terbaik bagi acara sukan masing-masing yang serupa dengan kriteria semasa manakala bagi sukan berpasukan, setiap pasukan perlu berada dalam kelompok empat terbaik untuk dipertimbang di bawah Kategori A,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
Mohamad Norza juga berkata, jawatankuasa itu akan memanfaatkan kejohanan dari 2018 sehingga Februari tahun depan sebagai asas bagi pemilihan manakala tarikh akhir penyertaan bagi Sukan SEA ialah 12 Mac 2022.
Beliau berkata, pada dasarnya, kesemua 250 atlet yang sedang mengikuti program elit MSN akan membentuk sebahagian besar kontinjen Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei manakala 193 atlet yang kini di bawah program belia MSN akan turut dipertimbang jika memenuhi kriteria.
Beliau juga berkata, mereka yang tidak menyertai program MSN akan berpeluang membuktikan diri mereka dalam kejohanan akan datang untuk dipertimbang bagi Sukan SEA seterusnya.
Bagi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2022, Mohamad Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, atlet dan pasukan perlu berada dalam kelompok lapan terbaik berbanding 16 sebelum ini untuk dipertimbang di bawah Kategori B.
"Bagi Kategori A, kriteria adalah serupa dengan kriteria semasa kerana atlet dan pasukan perlu berada dalam kelompok empat terbaik,” katanya sambil menambah MOM akan mengambil kira prestasi atlet dari 2018 hingga Mei 2022 termasuk di Sukan SEA untuk dipertimbang bagi kedua-dua temasya.
Ditanya mengenai kriteria ketat yang dikenakan bagi Kategori B, Mohamad Norza berkata, ketidakpastian yang dicetuskan oleh pandemik termasuk masalah kekurangan dana dan keselamatan atlet menyebabkan mereka terpaksa berbuat demikian.
Justeru, beliau mengakui bahawa peluang bagi kontinjen negara merangkul lebih banyak pingat agak sukar susulan kriteria ketat di bawah Kategori B.
"Saya rasa kita perlu berhemah bukan sahaja bagi MOM dan MSN malah untuk persatuan sukan kebangsaan (NSA) juga. Kita juga perketat kriteria dari segi Kategori B kerana mahu menjaga kualiti di mana contohnya kita tak mahu hantar pasukan belasahan sebaliknya bagi memastikan kita memiliki kontinjen yang lebih kuat,” katanya.
Mohamad Norza berkata, MOM akan mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan NSA pada Februari tahun depan untuk mereka membentangkan persediaan dan nama atlet mereka yang akan dipertimbang untuk menyertai tiga temasya utama terbabit tahun depan berbanding menyatakan jumlahnya pada Rabu.
Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, kesemua 193 atlet muda yang berkemungkinan berada di bawah Kategori B akan diberi peluang menjustifikasikan diri mereka menerusi NSAs dalam usaha menjadi sebahagian daripada kontinjen negara dalam Sukan SEA jika memenuhi kriteria.
"Secara tidak langsung, kita cuba beri sebanyak mungkin peluang yang boleh sama ada kategori A atau B dan itu juga bergantung kepada pembiayaan yang diminta daripada kerajaan untuk dipertimbang,” katanya.
Beliau juga berharap kesemua atlet akan menetapkan Sukan SEA sebagai penanda aras bagi memastikan mereka menempah slot dalam Sukan Komanwel yang bakal berlangsung di Birmingham, United Kingdom dari 28 Julai hingga 8 Ogos 2022 dan Sukan Asia di Guangzhou, China dari 10 hingga 25 September 2022.
Mereka yang berada di bawah Kategori A akan menerima tajaan penuh manakala kos atlet di bawah Kategori B akan ditanggung oleh NSA masing-masing.