KUALA TERENGGANU - Setelah hampir 10 tahun bebas memandu kenderaan tanpa lesen, akhirnya seorang etnik Rohingya kantoi selepas ditahan dalam satu sekatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, di Jalan Sultan Mohamad, di sini, malam tadi.
Turut ditahan dalam sekatan yang bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam itu, seorang warga asing dari etnik sama yang mengaku memandu kenderaan tanpa lesen sudah hampir lima tahun lalu
Selepas disoal siasat, kedua-duanya memberi alasan kad UNCHR yang dimiliki dijadikan sebagai 'lesen' membolehkan mereka membawa kenderaan.
Susulan itu, pengarahnya, Zulkarnain Yasin mengingatkan agar warga tempatan dilarang sama sekali memberi pinjam atau menyewakan kenderaan kepada warga asing yang tiada lesen.
"Saya dapati ramai dalam kalangan masyarakat hari ini tidak tahu bahawa tindakan undang-undang juga akan dikenakan kepada pemilik kenderaan yang ditahan.
"Justeru itu, saya ingin memberi peringatan kepada pemilik kenderaan agar berhati-hati apabila hendak memberi pinjam kenderaan kepada orang lain bagi mengelakkan tindakan dikenakan ke atas pemilik kenderaan," katanya pada sidang media Ops Khas Bersepadu Bersama Agensi Penguatkuasa Bil 1/2019, malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Zulkarnain berkata, pihaknya sudah dan akan membuat pertuduhan terhadap 13 pengusaha lori yang didapati melakukan kesalahan membawa lebih muatan.
"Kesemua mereka yang dituduh dibawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana membawa muatan secara berlebihan ditahan sempena Ops Tutup yang dijalankan pada 16 hingga 20 Januari lalu.
"Sebanyak 57 kertas siasatan dibuka dan daripada 13 pengusaha terbabit, lima daripadanya sudah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada awal bulan, manakala lapan lagi masih dalam proses pertuduhan.
"Dua daripada lima pengusaha yang dituduh masing-masing dijatuhkan hukuman denda RM20,000 dan RM12,000, dua lagi mengaku tidak salah dan mohon dibicarakan dan seorang lagi dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah," katanya.
Dalam operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, lebih 2,000 kenderaan diperiksa dan 181 saman dikeluarkan.
Antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan memandu tanpa cukai.