JOHOR BAHRU - Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bagi kesemua sekolah agama di Johor akan bermula pada tarikh baharu iaitu 9 Januari depan, berbanding 2 Januari mengikut ketetapan awal.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, bagaimanapun sesi persekolahan bagi Tadika Agama Johor (TAJ) dibenarkan beroperasi pada 2 Januari ini.
Iklan
Iklan
"Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor bersetuju untuk menimbal balik tarikh baharu sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 pada 9 Januari.
"Ketetapan ini adalah melibatkan semua Institusi Pendidikan Islam Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Januari ini bagi Kumpulan A dan 3 Januari ini bagi Kumpulan B ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir.
Mohd Radzi berkata, negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan persekolahan pada 9 Januari dan Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Januari. - Bernama