Seberang Perai diisytihar bandar rendah karbon

Iklan
Gambar kecil: Rozali

BUKIT MERTAJAM - Seberang Perai kini diisytiharkan sebagai bandar rendah karbon dan menjadi antara bandar terbaik di Malaysia selepas berjaya mengurangkan sebanyak 34.63 peratus pelepasan karbon perkapita pada tahun 2021 berbanding tahun 2015.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, pihaknya sebelum ini menetapkan aspirasi bagi menjadi Bandaraya Rendah Karbon menjelang tahun 2022.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sasaran itu ditetapkan sejak tahun 2018 bagi memacu pembangunan di Seberang Perai di samping memastikan pelepasan gas rumah hijau di Seberang Perai berada pada paras terkawal.

"Seberang Perai berjaya mengurangkan 34.63 peratus pelepasan karbon perkapita pada tahun 2021 berbanding tahun 2015.

Iklan

"Meskipun sasaran pengurangan pelepasan karbon (absolute carbon emission) yang ditetapkan adalah 50 peratus pengurangan karbon pada tahun 2022 berbanding tahun 2015, namun pencapaian ini adalah yang terbaik di antara bandar-bandar di negara ini," katanya ketika berucap pada majlis pengisytiharan Seberang Perai Bandar Rendah Karbon di Menara Bandaraya di sini pada Khamis.

Rozali berkata, secara keseluruhan Seberang Perai telah mencatatkan pengurangan karbon sebanyak 18.8 juta tan dari tahun 2016 hingga tahun 2021.

Iklan

"Angka berkenaan adalah setara dengan penyerapan karbon oleh 850 juta batang pokok setahun," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, data pelepasan karbon Seberang Perai setiap tahun akan disemak oleh agensi antarabangsa yang bergelar Carbon Disclosure Project (CDP) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang mempromosikan pembangunan lestari (ICLEI).

"Seberang Perai telah disenaraikan sebagai salah satu A-List City bagi tiga tahun berturut-turut dan berada di antara 10 bandar raya terbaik dunia yang menjalankan inventori karbon dan mengambil tindakan bagi pengurangan pelepasan karbon.

"Seberang Perai telah melebihi sasaran pengurangan pelepasan karbon yang ditetapkan di peringkat kebangsaan iaitu dengan mengurangkan sebanyak 55.86 peratus pelepasan karbon berbanding pelepasan karbon pada tahun 2005," katanya.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, Malaysia telah menyasarkan pengurangan sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 berbanding data pelepasan karbon pada tahun 2005.

Katanya, berdasarkan maklumat terkini, pencapaian pengurangan karbon di peringkat kebangsaan adalah sebanyak 33 peratus.

Beliau berkata, Seberang Perai telah menjalankan tanggungjawab bagi membantu memacu pencapaian sasaran kebangsaan.

"Seberang Perai mempunyai sasaran dan jelas. Sasaran ini dibantu oleh pelan tindakan yang realistik serta inklusif.

"Pencapaian ini adalah disebabkan oleh kerjasama seluruh warga Seberang Perai dalam mentransformasikan Seberang Perai menjadi sebuah bandar rendah karbon," katanya.