TANAH MERAH - Seorang lelaki warga Thailand dipercayai mengalami kemurungan yang disyaki menetak adiknya dengan pedang sehingga maut di Jeli pada Rabu direman selama seminggu.
Perintah reman terhadap suspek yang berusia 36 tahun dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret, Tuan Ruzuaini Tuan Lah, Tuan Ruzuaini Tuan Lah pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, suspek yang juga abang kepada mangsa direman bermula pada Khamis sehingga 5 Januari depan.
Menurutnya, suspek dipercayai bertindak melarikan diri selepas menetak adik lelakinya dengan pedang kira-kira pada jam 1.20 pagi Rabu sebelum ditemui di tepi jalan kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian pada jam 11.30 pagi hari yang sama.
"Ketika ditemui, suspek memegang sebilah pedang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang mangsa warga Thailand, Ma Udeng Masae, 30, maut dipercayai ditetak oleh abang kandung yang didakwa mengalami kemurungan akibat bercerai dalam kejadian di Kampung Sungai Rual Melayu.
Mangsa yang mengalami kecederaan meninggal dunia di lokasi kejadian.