Isu Azam Baki: Serah kepada Rasuah Busters jika tiada siasatan

Iklan
Datuk Ambiga Sreenavasan

SHAH ALAM - Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenavasan mencadangkan dakwaan Pakar Ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez diserahkan kepada Rasuah Busters sekiranya tiada tindakan susulan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, ini kerana sekiranya tiada siasatan dilakukan terhadap aduan Terence berkenaan salah laku Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tan Sri Borhan Dolah, kredibiliti mereka menjadi tiris dan kepercayaan orang ramai akan hilang.

Iklan
Iklan

"Saya rasa satu-satunya harapan kita untuk memerangi rasuah ialah #RasuahBusters iaitu daripada rakyat. Rakyat lebih baik uruskan perkara ini seperti krisis banjir yang melanda,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Selain itu, Ambiga sama sekali tidak setuju dengan dakwaan Borhan yang menyatakan bahawa Terence berbuat demikian adalah sebagai agenda politik.

Iklan

Jelasnya, sekiranya seseorang panel itu bersikap matang dan bertanggungjawab, seharusnya kertas siasatan berkenaan perkara yang berbangkit harus dibuka.

"Siapa yang bermain politik? Terence bukannya ahli politik. Dia dipilih sebagai ahli panel. Lagipun, perkara yang dibangkitkan ini adalah daripada pihak ketiga. Jadi mereka mesti buat siasatan.

Iklan

"Jika aduan ini tidak berasas. Maka tidak mengapa. Kenapa Borhan defensif sangat?” soalnya.

Pada Selasa, media melaporkan, Borhan mengharapkan agar Terence tidak memperalatkan beliau untuk sebarang agenda politik berhubung dakwaan salah laku membabitkan Azam Baki.

Borhan menegaskan bahawa beliau kekal profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Tambah Borhan, Terence perlu memahami mengenai tugasnya sebagai panel berkenaan iaitu merunding dan mencadangkan program kesedaran antirasuah.