Obses luar biasa sanggup menginspirasikan sebagai tema perkahwinan

Iklan

TERCETUSNYA minat atau kesukaan terhadap sesuatu benda atau perkara ada kalanya atas faktor orang tersayang.

Situasi itu berlaku kepada Saiful Nizam Hassan, 35. Lelaki ini sangat obses terhadap karakter kartun popular Doraemon dan Hello Kitty.

Iklan
Iklan

Kepada Oh! Lelaki, Saiful berkata, beliau cenderung dengan karakter itu bermula apabila beliau menerima hadiah daripada arwah ibunya, Siti Zawyah Abdullah.

Saiful dan Nur Sakeena gembira kehendak mereka inginkan konsep Doraemon dan Hello Kitty tercapai


"Ketika tadika, saya dihadiahkan sebentuk kunci bahagian kepalanya ada Doraemon. Sejak itu, saya obses kepada watak ini. Saya akan simpan duit belanja sekolah untuk membeli barangan Doraemon,” kata penjaga stor itu.

Tema perkahwinan

Tetamu yang hadir tidak sabar untuk bergambar dengan pelamin

Iklan

Saiful tidak malu untuk berkongsi apa yang digilainya sejak kecil bersama orang sekeliling.

Perkara terbesar yang dilakukannya ialah menjadikan karakter Doraemon dan Hello Kitty sebagai tema perkahwinannya.

Iklan

Hari bahagia bersama pasangannya, Nur Sakeena Kamarol Zaman, 24, yang berlangsung pada 14 Januari tahun lalu di Meru Klang, Selangor menjadi tular.Lebih melucukan, bukan diri mereka yang menjadi objek perhatian tetamu tetapi pelamin mereka!

"Idea untuk menggunakan konsep Doraemon dan Hello Kitty kami putuskan sebulan sebelum majlis perkahwinan. Tiba-tiba kami fikir mahu mengadakan majlis yang berbeza. Kami mahu sesuatu yang dapat menceritakan minat kami. Jadi, saya upah perancang perkahwinan yang bernama Seriheza untuk mewujudkan fantasi Doraemon dan Hello Kitty.

"Hasilnya kami sendiri tidak percaya. Malah tetamu yang datang juga tidak sabar untuk bergambar. Sebaik kami turun dari pelamin, ramai yang serbu hendak bergambar. Ingatkan hendak bergambar dengan kami, rupanya dengan pelamin,” kata Saiful sambil ketawa berdekah-dekah.

Pengaruhi isteri

Tidak lengkap hobi mengumpul Doraemon (kucing jantan) tanpa pasangannya, Hello kitty (kucing betina). Di Jepun, Doraemon dan Hello Kitty dikenali sebagai kucing jantan dan kucing betina.

Tahukah anda, Saiful orang yang bertanggungjawab membuatkan isterinya berminat dengan hobi suka mengumpul barangan Hello Kitty. Beliau menyuntik semangat itu dengan memberikan hadiah karakter Hello Kitty pada awal perkenalan mereka.

"Saya tahu dia minat warna merah jambu. Jadi, saya hadiahkan dia Hello Kitty. Semenjak itu dia mula meminati Hello Kitty ini.

"Setelah kami berkahwin, lebih mudah saya mengumpul kedua-dua koleksi ini,” katanya.

Koleksi

Koleksi Hello Kitty milik Saiful


Beritahu Saiful, koleksi Hello Kitty lebih banyak dikeluarkan di pasaran berbanding Doraemon.

Pada setiap tahun, Hello Kitty mempunyai koleksi terhad yang dikeluarkan oleh McDonalds, Guardian, Giant dan di panggung-panggung wayang.

Berbeza dengan Doraemon, lelaki ini akan membelinya secara online melalui laman web, My Japan.

Kadang-kadang beliau akan membeli secara bidaan.

"Harga yang dibida itu tidak akan melebihi RM1,000,” katanya.

Saiful berterus-terang yang beliau telah membelanjakan sebanyak RM10,000 semenjak mengumpul koleksi Doraemon dan Hello Kitty sejak kecil lagi.

Setakat ini, beliau mempunyai 3,000 jenis koleksi barangan Doraemon. Antaranya seperti cawan, pinggan-mangkuk, jaket, seluar, patung Doraemon dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea, Vietnam, Bangladesh, India, Thailand dan Singapura. Barangan Doraemon yang eksklusif seperti barangan kereta, basikal dan barangan dapur juga ada.

Untuk barangan Hello Kitty dia mempunyai 7,000 jenis item seperti pensel, buku, kasut, barangan dapur, kereta dan barangan kemas.

Saiful turut menjual koleksi Doraemon dan Hello Kitty di pasaran online dan kepada kawan-kawan yang berminat untuk membelinya.

Berbaloikah dengan wang yang dikeluarkan untuk semua itu? Jawabnya:"Saya okay kerana karakter Doraemon mengingatkan saya kepada ibu dan Hello Kitty pula sebagai ingatan tulus dan kasihnya kepada isteri saya.”