KUALA LUMPUR - Penduduk Taman Sri Gombak di sini, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera agar kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan itu tidak merebak dan menjejaskan kehidupan penduduk di sekitar kawasan itu.
Tinjauan Bernama mendapati, selain kawasan yang terjejas teruk di jalan 7/3 itu yang ditutup dengan kanvas, terdapat juga berberapa runtuhan kecil di kawasan berhampiran iaitu di jalan 7/4 yang kini hanya direntang tali.
S Suresh Rao, 44, berkata, kejadian tanah runtuh di hadapan rumahnya hampir mengancam keselamatan keluarganya dan ia adalah kali kedua kejadian seumpama itu berlaku.
Menurutnya, laporan tanah runtuh dibuat kepada pihak berkuasa sejak dua tahun lepas namun tiada tindakan dilakukan.
"Apabila kejadian tanah runtuh terjadi pada 18 Disember, banyak pokok, tanah serta lumpur menuruni kawasan di hadapan rumah sehingga hampir merosakkan kediaman saya.
"Sebelum 18 Disember, saya telah buat laporan polis bulan lepas (November) kerana ada tanda-tanda kejadian tanah runtuh (seperti lumpur) akan berlaku namun tiada tindakan diambil," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian pada Khamis.
Ketika kejadian, dia bersama-sama keluarga berada di dalam rumah dan cuaca ketika itu sangat teruk dengan hujan lebat disusuli bunyi air yang mengalir deras dari bahagian atas bukit serta pokok mati tumbang yang mengakibatkan tanah runtuh.
"Apabila menyedari kejadian tanah runtuh akan berlaku, saya terus mengalihkan kenderaan berhampiran rumah ke tempat yang lebih selamat," katanya yang kini menyewa di rumah lain kerana trauma dengan kejadian itu.
Seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Wan Harliyah, 50, berkata, kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini turut memberi kesan terhadapnya sekeluarga memandangkan rumah mereka berhampiran kawasan yang terjejas itu.
"Di kawasan ini, ramai penduduk terdiri daripada warga tua. Kalau jadi lagi kejadian ini, bagaimana mereka hendak menyelamatkan diri? Takkan tunggu ada orang yang maut (akibat tanah runtuh) baru hendak ambil tindakan sewajarnya?" katanya.
Pada 18 Disember lepas, penduduk di sekitar Taman Sri Gombak dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan tepi bukit, namun tiada sebarang kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama