Sindiket curi elektrik lombong bitcoin tumpas

Iklan
Mior Faridalathrash (dua dari kiri) melihat barang yang dirampas daripada sindiket melombong bitcoin secara tidak sah sekitar Manjung.

LUMUT - Polis Perak berjaya menumpaskan kegiatan mencuri elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin terbesar di sekitar daerah Manjung di sini pada Rabu.

Sindiket itu ditumpaskan dalam Operasi Bersepadu khas yang dijalankan selama 13 jam bermula jam 9 pagi itu melibatkan 154 pegawai dan anggota polis dibantu 15 juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta enam anggota bomba.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak 30 rumah kedai diserbu dan 1,720 mesin bitcoin bernilai RM3.5 juta dirampas.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki penjaga premis turut ditahan dalam operasi itu.

Iklan

"Lelaki berkenaan direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

"Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 15 monitor, 22 unit pemprosesan pusat (CPU), 56 modem, sebuah komputer riba dan tujuh kamera litar tertutup (CCTV)," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengurus TNB Perak, Mohd Toha Abdul Manaf.

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, aktiviti mencuri sumber elektrik itu menyebabkan TNB mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta.

Sebanyak 1,720 mesin bitcoin dirampas dalam Operasi Bersepadu Khas yang dijalankan pada Rabu.

Katanya, sindiket itu didapati menyewa di premis yang terlindung daripada orang ramai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan itu termasuk pemilik premis.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai melaporkan sebarang kegiatan melombong Bitcoin secara haram kepada pihak polis untuk diambil tindakan.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalatrash berkata, pihaknya akan mengadakan operasi khas sempena sambutan Tahun Baharu 2022 bermula Jumaat.

"Operasi itu akan dilakukan di seluruh negeri bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tiada kegiatan tidak diingini berlaku.

"Setakat ini kita menerima satu permohonan daripada Tourism Perak bagi mendapatkan permit membenarkan dan membakar bunga api ketika ambang tahun baharu," katanya.