Air deras di Lata Berangin

Iklan
Paparan dalam video yang tular pada Khamis menunjukkan lebihan air yang berlaku di Lata Berangin di sini.

KUALA KRAI - Taburan hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan lebihan air sungai berlaku di beberapa kawasan terutamanya Lata Berangin awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, fenomena tersebut menjadikan air di air terjun berkenaan deras dan melebihi dari paras biasa.

Iklan
Iklan

"Memang berlaku lebihan air awal pagi tadi sebab hujan berterusan sejak semalam. Ia melibatkan kawasan-kawasan berbukit dan beberapa sungai yang berdekatan.

"Namun keadaannya masih terkawal dan agensi yang bertugas telah melakukan pemantauan berterusan melibatkan kawasan-kawasan berisiko banjir sejak awal pagi tadi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Sebelum itu sejak pagi Khamis, tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApps mengenai satu video yang menunjukkan air sungai yang deras di lokasi yang dipercayai di Lata Berangin, iaitu sebuah pusat rekreasi di Kuala Krai.

Mengulas lanjut, Suzaimi berkata, walaupun tiada penempatan penduduk di kawasan lata berkenaan, namun pihaknya tetap mengadakan rondaan berterusan di kawasan terbabit untuk memastikan keadaan sentiasa terkawal.

Iklan

Katanya, penduduk kampung yang tinggal di kawasan tepi sungai juga telah dinasihatkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini jika berlaku lebihan air hujan dari arah bukit.

"Nasihat kami, kepada mereka yang tinggal di kawasan berisiko, bertindak dengan segera, jangan tunggu air masuk dalam rumah baharu nak pindah. Ia akan menyukarkan operasi menyelamat dan boleh berlakunya kejadian yang tidak diingini," ujarnya.

Berdasarkan maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah Kuala Krai sejak pagi Khamis.

PPS yang dibuka ialah Pusat Komuniti Chuchoh Puteri A, Masjid Chuchoh Puteri A, Madrasah Chuchoh Puteri A dan Dewan Sri Guchil.