Lelaki lemas perahu terbalik ketika pukat ikan

Iklan
Mayat Mohd Razi Jaafar ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 5.30 petang.

PASIR MAS - Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai akibat lemas selepas terjatuh dari perahu yang dinaiki ketika memukat ikan di Sungai Lubok Jong, berdekatan Kampung Serongga, Repek, di sini pada Khamis.

Kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah hari sebelum mayat Mohd Razi Jaafar, 45, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 5.30 petang.

Iklan
Iklan

Abang mangsa, Mohd Aziz, 53, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa adik bongsu daripada empat beradik itu daripada penduduk kampung dan kemudian membuat laporan polis.

"Mohd Razi dikatakan keluar dengan menggunakan perahu penduduk untuk menahan pukat di sungai berkenaan, namun perahunya terbalik dan dia terjatuh ke dalam sungai.

Iklan

"Penduduk menjumpai perahu terbalik bersama pukat yang masih ada berhampiran lokasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, Mohd Razi masih bujang dan kali terakhir mereka bertemu pada minggu lalu.

Iklan

"Dia seorang adik yang baik dan hanya bekerja kampung serta memukat ikan darat di kawasan itu.

"Kami bersyukur mayatnya ditemui dan reda atas pemergian itu. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Pasir, di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.20 petang.

"Mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat Bomba Pasir Mas dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa di celah akar pokok di tebing sungai berhampiran tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas bagi proses bedah siasat,” katanya.