Terengganu kembali banjir, jumlah mangsa di Kelantan meningkat

Iklan
Antara rumah yang ditenggelami banjir semasa tinjauan di Kampung Pasir Raja di sini hari ini. Seramai 69 mangsa terdiri daripada 22 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang dibuka secara rasmi pada 4 petang tadi. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Hujan lebat berterusan mengakibatkan Terengganu kembali dilanda banjir manakala Kelantan menunjukkan pertambahan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak petang Khamis.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca peringkat bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan yang dijangka dialami 11 kawasan di tiga negeri pantai timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang hingga Jumaat.

Iklan
Iklan

Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan Dungun menjadi daerah pertama dilanda banjir gelombang ketiga apabila PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dibuka pada jam petang yang menempatkan 69 mangsa daripada 22 keluarga.

Banjir gelombang kedua melanda negeri itu pada 17 hingga 21 Disember lalu menyaksikan seramai 423 mangsa daripada 122 keluarga dipindahkan ke PPS di Setiu, Dungun dan Kemaman.

Iklan

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 856 orang daripada 245 keluarga setakat jam 6 petang berbanding 501 orang daripada 142 keluarga, tengah hari Khamis.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), 11 PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu tujuh di Jeli dan empat di Kuala Krai.

Iklan

Sementara itu, portal rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan dua sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli dengan merekodkan bacaan 29.58 meter (m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (23.69 m).

Portal rasmi pengurusan bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) pula melaporkan jalan yang menghubungkan Jeli-Dabong di Kampung Reka, Jeli ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 4,368 orang di 38 PPS di daerah Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Maran.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan hanya Jalan Kampung Belimbing di Maran yang masih ditutup petang Khamis berbanding enam di lima daerah pada sebelah pagi.

Laman web JPS pula melaporkan Sungai Cherating di Kuantan berada para paras bahaya dengan trend menurun, manakala lima sungai pada paras waspada iaitu Sungai Kundang di Maran, Sungai Dong (Raub), Sungai Triang di Chemomoi (Bentong) dan Sungai Kuantan di Bukit Kenau serta Sungai Lembing, kedua-duanya di Kuantan.

Sementara itu, situasi di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pula menunjukkan keadaan banjir semakin pulih.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa di negeri itu kini 466 orang melibatkan 132 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

Empat PPS tersebut adalah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding (20 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil (77 orang) di Hulu Langat, Stadium Tertutup Kuala Selangor (201 orang) dan SMK Kuala Selangor (168 orang).

Di Negeri Sembilan, mangsa banjir kekal 29 individu manakala di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, PPS tunggal yang menempatkan mangsa banjir di Jasin telah ditutup pada jam 2 petang Khamis. - Bernama