JBPM kenal pasti 272 lokasi potensi menyumbang kepada banjir

Iklan
Foto Bernama

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti sejumlah 272 lokasi dengan paras air yang mudah meningkat dan berpotensi menyumbang kepada banjir di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, 272 lokasi berkenaan melibatkan sungai, persisiran pantai, air terjun dan tali air.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kesemua lokasi itu, telah dipantau JBPM sejak September lalu namun disebabkan taburan hujan di luar jangkaan pada 18 hingga 20 Disember lalu di sembilan daerah di Selangor, telah menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terbatas.

"Oleh yang demikian, kira-kira seramai 66,000 anggota telah ditempatkan untuk berada di sembilan daerah antaranya Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Sabak Bernam bagi kerja-kerja menyelamat mangsa banjir.

Iklan

"Sememangnya di Selangor ini pada peringkat awalnya, kami respons tetapi dengan keluasan daerah dan kepantasan paras air yang naik di negeri itu maka logistik dan keanggotaan pada ketika itu tidak boleh menampung keperluan keadaan (banjir) yang berlaku,” katanya pada Khamis.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya telah pergi ke Hulu Langat, Shah Alam dan Klang dan mendapati kawasan itu terjejas banjir serta memerlukan banyak bantuan.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai SAR dalam menyelamatkan mangsa banjir, beliau berkata, ia memberi cabaran kepada JBPM kerana JBPM mengambil masa yang lama untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir kerana di Selangor terdapat banyak daerah dan puluhan ribu mangsa terjejas ketika itu.

Mengulas mengenai sama ada anggota JBPM mencukupi atau sebaliknya semasa operasi SAR mangsa banjir, Mohammad Hamdan mengakui bahawa terdapat kekangan dari segi jumlah anggotanya dan berterima kasih kepada komuniti setempat, sukarelawan, badan bukan kerajaan yang turut membantu dalam aspek menyelamatkan nyawa, pengurusan dan pemindahan mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, JBPM dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi dan Agensi Pengurusan Bencana Negara akan mempergiatkan pemantauan berterusan khususnya fenomena alam yang kerap berubah.

"Kami bukan sahaja melihat ‘hotspot’ sahaja tetapi juga aliran sungai lain yang bertembung di antara satu sama lain yang menjadikan kawasan persekitaran lebih berbahaya.

"Apabila kami mengenal pasti ‘hotspot’ ini, kami akan membuat penilaian risiko dan mengambil tindakan bagi mengawal risiko ini," katanya. - Bernama