'Abang Viva' sedih terpaksa pisahkan ahli keluarga mangsa banjir

Iklan
Azwan bersama kereta Perodua Viva dan bot yang dibeli sejak lebih sebulan lalu untuk menyelamatkan mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

ALOR GAJAH - Pemuda yang dikenali dengan jolokan 'Abang Viva', Azwan Omar, 29, sebak apabila mengenangkan dia terpaksa 'memisahkan' ahli keluarga mangsa banjir di Selangor ketika menyelamatkan mereka baru-baru ini.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia terpaksa melakukan perkara sedih itu demi menyelamatkan nyawa mereka dan mengakui turut menitiskan air mata apabila menyaksikan perpisahan yang berlaku di depan matanya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada isteri terpaksa berpisah dengan suami begitu juga ibu bapa yang juga warga emas terpaksa berpisah dengan anak-anak mereka untuk di bawa ke tempat selamat.

"Sebenarnya saya pun tak ingat berapa ramai yang saya tolong menaiki bot saya, tapi paling tersentuh ketika menyelamatkan bayi baharu dilahirkan yang duduk bersama ibunya atas bumbung rumah dua tingkat terpaksa berpisah dengan ahli keluarga mereka.

Iklan

"Begitu juga warga emas yang diselamatkan, saya terbayangkan bagaimana keadaan mak ayah saya sekiranya melalui keadaan sulit seperti itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pengkalan Indah, di sini, pada Khamis.

Azwan (tengah) dan ibunya, Norbibah serta bapanya, Omar Pilu,73, bergambar bersama kereta Perodua Viva yang dibawa ketika misi bantuan banjir pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azwan yang gemar memakai topi berkata, tidak pernah bermimpi untuk dikenali seperti sekarang memandangkan ada lagi insan lain yang seharusnya diangkat dan dihargai termasuk seorang individu yang ditemuinya dari Pulau Pinang yang sanggup menyewa lori untuk membawa bot nelayan bagi membantu mangsa banjir.

Iklan

Katanya, sepanjang 10 hari misi membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang banyak pengajaran yang diperolehnya selain ada yang sudi menghulurkan sumbangan.

"Sebenarnya ramai lagi sukarelawan yang datang, saya tak terfikir untuk jadi terkenal dan kalau dapat pusingkan masa tak mahu jadi begini.

"Bila orang dah kenal, saya anggap semua ini satu amanah dan kepercayaan mereka terhadap saya juga tinggi," katanya yang bekerja sebagai pemandu jentera berat.

Tambah Azwan, dia dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan ibu bapanya pernah menjual kuih serta pisang goreng di tepi jalan pengkalan untuk menyara mereka empat beradik.

"Sekarang ini masa untuk saya membalas jasa mak dan ayah serta menjaga dua anak buah, Ahamd Daniel Mohd Salim,11, dan Ahamd Danish Mohd Salim,12," katanya yang segan bercerita soal jodoh.

Azwan bersama ibu bapanya dan dua anak buah yang tinggal bersama mereka.

Sementara itu, ibunya, Norbibah Hashim, 66, mengakui turut sedih mengenangkan anaknya pergi seorang diri ke tempat orang untuk membantu mangsa banjir dengan keadaan paras air yang tinggi.

Menurutnya, sebagai ibu dia tidak putus berdoa agar ALLAH SWT sentiasa lindungi anak lelaki tunggalnya itu sehinggalah Azwan selamat pulang ke rumah pada Rabu.

Katanya, turut terkejut apabila kisah anaknya yang pergi secara solo untuk menyelamatkan mangsa banjir itu tular di media sosial dan sentiasa mengingatkan anak-anaknya jangan meninggi diri dan sentiasa berbudi bahasa.

"Mak cik sedih selama dia tiada, kita makan sedap-sedap di rumah tapi keadaannya di sana kita tak tahu, makan ke tidak.

"Bila dia dah dikenali mak cik kata, 'ibarat lebuh raya, jalan lebar dan terang tapi jangan lupa dari lembah kita datang, janganlah lupa untuk menoleh ke belakang," katanya.

Ditanya mengenai peribadi anaknya itu, Norbibah berkata, Azwan seorang yang pendiam namun tegas dan sentiasa menghubunginya jika dia tidak pulang ke rumah.

"Masa dia menyertai misi banjir, kalau tak sempat nak hubungi mak cik dia akan menghantar WhatsApp untuk bertanya khabar.

"Semalam (Rabu) dia pulang ke rumah, mak cik mengalirkan air mata gembira dan lebih sayu bila dia memeluk dan mencium tangan mak cik," katanya.