KOTA BHARU - Tunang kepada arwah, Muhammad Afifi Amiri Mohamad Nawawi, 24, pengsan sejurus dimaklumkan bakal suaminya itu maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan jentera bomba di Persimpangan Batu 4, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, petang semalam.
Hazwani Hanafi, 27, yang hanya tinggal lapan hari sahaja lagi sebelum diijab kabulkan pengsan sebaik mendengar perkhabaran sedih berhubung pasangnya itu pada jam 6.30 petan
Katanya, dia pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan bertanyakan kesahihan keadaan yang menimpa arwah, namun menganggap itu sekadar gurauan, bagaimanapun dia sekali lagi menerima pertanyaan yang sama menerusi aplikasi WhatsApp daripada rakan yang lain pula.
"Saya belum tahu apa-apa masa itu, kemudian saya tanya kakak ipar dan dia mengiyakan berita tersebut menyebabkan saya terkejut dan pengsan.
"Apabila sedar, saya menangis kerana berasa seolah-olah arwah masih lagi ada, namun saya tetap reda dia pergi sebelum sempat kami disatukan sebagai pasangan suami isteri pada Khamis minggu depan (21 Mac),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, di sini, tadi.
Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan arwah tunangnya itu pada jam 9 pagi sebelum kejadian apabila anak sulung daripada empat beradik itu mengajaknya membeli karpet rumput perhiasan untuk dihias di atas dulang hantaran perkahwinan mereka.
"Dia beritahu saya Ahad ini dia sudah mula bercuti untuk melakukan persediaan akhir sebelum majlis perkahwinan kami dan kami berjanji untuk keluar bersama ditemani kakak saya.
"Biasanya, pada waktu makan tengah hari, dia akan mesej saya tanya makan ke tak atau sudah solat ke belum, tetapi tengah hari semalam (kelmarin) tidak ada mesej daripadanya dan saya anggap dia sedang sibuk bekerja.
"Saya juga melalui WhatsApp ada kirimkan gambar rumah tamu rumah untuk memberitahunya sudah siap dikemas kerana nanti akan dipasangkan pelamin kami, peliknya tidak seperti kebiasaan kerana mesej itu tidak berbalas sehinggalah saya diberitahu dia meninggal dalam kemalangan tersebut,” katanya.
Tambahnya, kesemua persiapan sebelum bergelar raja sehari sudah disiapkan bersama-sama pasangannya itu dan kali terakhir mereka bertemu pada 2 Mac lalu ketika bersama-sama ditemani kakak Hazwani membeli barangan peribadi arwah seperti tali pinggang; beg dan baju untuk diletakkan di atas dulang hantaran.
"Akad nikah kami sepatutnya berlangsung pada Khamis, 21 Mac depan, sementara kenduri kesyukuran pihak perempuan pula ditetapkan pada Jumaat, 22 Mac 2019, manakala kenduri bagi pihak lelaki bertarikh 30 Mac 2019 pada hari Sabtu.
"Kad jemputan semua sudah diedarkan, jadi kenduri diteruskan dan kami tukar kepada majlis tahlil untuk arwah.
"Arwah seorang yang suka bergurau dan memanggil saya dengan gelaran 'puteri' malah sering mengatakan saya adalah bidadarinya di syurga,” katanya menangis sambil ditenangkan ibu, Che Senah Che Mat, 65.