SHAH ALAM - Dianggarkan 50,000 ahli Pas dari Selangor akan memenuhi pekarangan Jalan Raja bagi himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.
Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasbullah Ridzwan berkata, semua ahli Pas diminta berbaju putih tanda bersih pada himpunan tersebut.
"Pimpinan Pas Selangor dijangka turut hadir sebagai tanda sokongan pembatalan ICERD itu termasuk Persuruhjaya, Sallehen Mukhyi dan timbalannya.
"Pas akan mengikut aturcara disusun penganjur dan tiada cadangan untuk membuat acara berasingan,” katanya mengulas kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan semalam membenarkan himpunan ICERD diadakan.
[ARTIKEL BERKAITAN: DBKL, polis benar himpunan ICERD Sabtu ini]
http://www.sinarharian.com.my/nasional/dbkl-polis-benar-himpunan-icerd-sabtu-ini-1.911365
Hasbullah berkata, beliau menyambut baik kenyataan Nor Hisham yang membenarkan himpunan kesyukuran tersebut diadakan.
"Sebelum ini Pas berpendirian tetap hadir di himpunan itu atas arahan pucuk pimpinan parti dan selepas kebenaran dibenarkan ia menjadi lebih mudah.
"Saya seru semua rakyat turut serta berhimpun sebagai tanda syukur dan penyatuan ummah tanpa kira latar belakang politik mahupun fahaman dan NGO juga diseru hadir,” katanya.