KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan maut dihempap sebatang pengumpil paip besi tergalvani ketika sedang membuat rondaan di laluan keluar parkir Bangsar Trade Center, Bangsar berhampiran sebuah tapak pembinaan di sini pada Khamis.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam satu kenyataan berkata, kejadian jam 10.40 pagi itu berlaku ketika kerja pembukaan acuan konkrit ('formwork') sedang dijalankan di tingkat 15 tapak pembinaan berkenaan.
Menurut kenyataan berkenaan, mangsa yang merupakan warga Indonesia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
"JKKP mengeluarkan Surat Larangan Mengganggu bagi melarang sebarang kerja dijalankan di kawasan kejadian untuk tujuan penyiasatan lanjut.
"Notis Larangan juga dikeluarkan atas kesalahan gagal memastikan aktiviti pembukaan 'formwork' dijalankan dengan selamat sehingga menyebabkan kemalangan maut," menurut kenyataan tersebut pada Khamis.
Menurut JKKP, pihaknya telah mengarahkan segala aktiviti di tapak pembinaan tersebut supaya diberhentikan.
Tambahnya, tindakan akan diambil mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967 sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang di tapak pembinaan tersebut.
"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.
"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif paitu Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," ujarnya.