BRUSSELS - Kesatuan Eropah (EU) sedia mengenakan sekatan baharu termasuk larangan jualan senjata terhadap rejim tentera di Myanmar, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan ketua dasar luar blok itu pada Khamis.
"Memandangkan keganasan yang semakin meruncing di Myanmar, pencegahan di peringkat antarabangsa diperlukan, termasuk sekatan senjata,” menurut Josep Borrell dalam satu kenyataan.
Blok itu bersedia mengenakan sekatan lanjut terhadap rejim tentera dan mengutuk keganasan terbaharu di negeri Kayah dan Karen.
Borrell menyifatkan serangan terhadap orang awam dan aktivis kemanusiaan"sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima serta melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan" dan menggariskan"keperluan mendesak agar pihak tentera mengambil tanggungjawab dalam kejadian serangan itu."
Pada 24 Disember, askar membunuh dan membakar sekurang-kurangnya 35 orang, termasuk wanita, kanak-kanak dan aktivis kemanusiaan, di Kayah.
Borrell mengesahkan EU akan terus memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar. Sejumlah €89.5 juta (AS$101.3 juta) diperuntukkan bagi tujuan bantuan kemanusiaan di Myanmar.
EU telah mengenakan sekatan terhadap pemimpin tentera terkemuka, pegawai kerajaan, serta entiti berkaitan rejim tentera sejak rampasan kuasa.
Pada 1 Februari, junta tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa selepas mendakwa terdapat unsur penipuan dalam pilihan raya umum pada 8 November 2020 dan sejak itu berlaku ketegangan politik di negara itu. - Bernama